KESAN keadaan ekonomi semasa terhadap prestasi dividen KWSP dikatakan tidak bergantung sepenuhnya dengan keadaan ekonomi di Malaysia.
KESAN keadaan ekonomi semasa terhadap prestasi dividen KWSP dikatakan tidak bergantung sepenuhnya dengan keadaan ekonomi di Malaysia.
Sri Ayu Kartika Amri dan Annisa Nasuha Ismail

Kuala Lumpur: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka bakal mencapai kadar sehingga 5.4 peratus bagi konvensional dan 5.0 peratus (syariah).

Bagi tahun kewangan 2022, KWSP mengumumkan agihan dividen 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan syariah.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata, prestasi dividen KWSP bagi tahun 2023 berkemungkinan lebih tinggi dari tahun sebelumnya.

"Dividen kali ini dijangka mungkin lebih tinggi dari tahun sebelumnya iaitu kemungkinan untuk konvensional 5.4 peratus dan syariah 5.0 peratus, melebihi kadar sebelumnya.

"Jangkaan ini disasarkan lebih baik berikutan prestasi Bursa Malaysia memberangsangkan yang dicapai pada 2023 berbanding 2022.

"Walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) masih lagi menunjukkan penguncupan pada 2023, tetapi penguncupannya lebih kecil berbanding 2022," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, KWSP tiada tekanan untuk mengisytiharkan dividen yang tinggi tahun ini berikutan 2023 menjadi tahun mencabar.

Katanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga mengisytiharkan dividen yang sesuai iaitu agihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit kepada pemegang unit bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023.

Katanya, jika KWSP mengumumkan dividen yang sama atau lebih rendah sedikit berbanding tahun lalu, rakyat masih boleh menerimanya.

"Jika ada keuntungan yang lebih, KWSP boleh membawanya bagi tahun kewangan 2024.

"Selain itu, antara faktor yang mempengaruhi prestasi dividen KWSP tahun ini adalah dari segi pelaburannya di luar negara iaitu sebanyak 40 peratus.

"Sebagai contoh pelaburan berpendapatan tetap di Amerika Syarikat, pelaburan ini memberi pulangan tinggi kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kesan keadaan ekonomi semasa terhadap prestasi dividen KWSP sebenarnya tidak bergantung sepenuhnya dengan keadaan ekonomi di Malaysia kerana KWSP melabur hampir ke seluruh negara.

"Walaupun keadaan ekonomi di Malaysia mencabar dan kadar pertukaran mata wang kita merosot, ia tidak akan menggambarkan prestasi KWSP secara keseluruhannya.

"Malah penurunan kadar mata wang ini membantu KWSP untuk meningkatkan pulangan pelaburan.

"Selain itu, jika pelaburan KWSP dari luar negara mendapat pendapatan kira-kira 5.0 peratus untuk pelaburan berpendapatan tetap misalnya, apabila nilai itu ditukarkan ke mata wang Malaysia, kita akan mendapat keuntungan," katanya.

KWSP meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2023, meningkat 33 peratus berbanding RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:00 AM