Bangunan KWSP.
Bangunan KWSP.

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan dividen bagi 2023 pada Ahad ini, 3 Mac.

Dalam jemputan media yang diterima semalam, KWSP berkata pengumuman itu akan dibuat oleh ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn.

Sebahagian besar ahli ekonomi berpendapat dividen bagi simpanan konvensional dan syariah untuk 2023 akan lebih tinggi daripada yang diumumkan pada 2022.

Bagi tahun kewangan 2022, KWSP mengumumkan agihan dividen 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan syariah.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, meningkat 33 peratus berbanding RM36.04 bilion dalam tempoh sama pada 2022.

Dividen tertinggi yang pernah dibayar oleh KWSP ialah 8.5 peratus pada 1986, manakala dividen terendahnya ialah 5.2 peratus, dibayar pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 4:31 PM