KWSP mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2022.
KWSP mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2022.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi simpanan konvensional dan simpanan syariah yang lebih rendah pada 2022 adalah dalam lingkungan seperti yang dijangka, menurut pakar ekonomi.

Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion, manakala dividen 4.75 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah pembayaran RM5.70 bilion.

Ini menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk 2022 sebanyak RM51.14 bilion yang memanfaatkan 15.72 juta ahli.

Pada 2021, KWSP mengumumkan dividen 6.1 peratus bagi simpanan konvensional, manakala 5.65 peratus bagi simpanan syariah.

Bagaimanapun, kadar pada 2022 melebihi dividen pada 2020 iaitu 5.20 peratus (konvensional) dan 4.90 peratus (syariah).

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar dividen untuk 2022 tidaklah mengejutkan memandangkan pasaran kewangan yang terjejas teruk disebabkan beberapa kejutan.

Beliau berkata, kenaikan mendadak Kadar Dana Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat mengejutkan banyak pihak berikutan Pengerusi Fed berpendapat bahawa kenaikan inflasi adalah sementara, namun, mengubah strategi pada 2022 dan tampil agresif dalam memerangi kadar inflasi.

"Peperangan di Ukraine yang bermula pada Februari 2022 menyebabkan harga makanan naik mendadak sekali gus menambahkan lagi gangguan terhadap rantaian bekalan akibat Covid-19.

"Di sebalik semua musibah ini, KWSP berjaya memberikan dividen melebihi kadar inflasi 3.3 peratus pada 2022, malah lebih tinggi berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun iaitu 3.87 peratus pada akhir tahun lepas," katanya kepada Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 12:39 PM