HONDA City 2023 antara model terlaris.
HONDA City 2023 antara model terlaris.

HONDA Malaysia merekodkan lebih daripada 80,000 unit jumlah jualan, sekali gus mencapai sasaran jualan tahunannya untuk tahun lalu.

Pencapaian luar biasa ini membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan nombor satu dalam kereta penumpang bukan nasional, bagi segmen kenderaan untuk tahun ke-10 berturut-turut sejak 2014.

Tahun 2023 adalah tahun pemulihan beransur-ansur dan prospek positif bagi Honda Malaysia, dengan pelancaran empat model baharu pada suku kedua.

Model terbabit ialah WR-V, City, Civic Type R dan CR-V serba baharu.

Sementara itu, tiga model terlaris pada tahun lalu ialah City, HR-V dan City Hatchback yang masing-masing menyumbang 30 peratus, 25 peratus dan 13 peratus kepada jualan keseluruhan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, model WR-V, HR-V, CR-V dan Civic muncul sebagai nombor satu dalam segmen masing-masing.

"Tahun lalu terbukti tahun mencabar di mana kami hadapi pasaran kompetitif. Namun Honda Malaysia berjaya mengatasinya dan mencapai sasaran jualan pada tahun lalu dengan sokongan padu daripada pengedar dan kerajaan Malaysia," katanya.

Yoshimura berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan Honda yang sudah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini melalui sokongan mereka terhadap jenama Honda.

"Pencapaian cemerlang Honda Malaysia tahun ini sebahagian besarnya disumbang pelancaran WR-V pada Julai dan SUV (kenderaan utilitik sukan) kecil ikonik itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pasaran.

"Varian RS penyumbang terbesar, menyumbang 60 peratus daripada jumlah jualan setakat ini dan syarikat menjual lebih 7,800 unit WR-V dalam tempoh enam bulan pertama pelancaran, sekali gus membuktikan populariti WR-V di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Yoshimura berkata, jualan model hibrid Honda Malaysia (e:HEV) meningkat daripada 4,100 unit pada 2022 kepada 7,700 unit pada tahun lalu dan mewakili pertumbuhan 187 peratus bagi model e:HEV yang diterima baik dalam pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 7:00 AM