Pelanggan pertama yang memiliki WR-V, Nurain Mohamad menerima hadiah tambahan daripada Honda Malaysia.
Pelanggan pertama yang memiliki WR-V, Nurain Mohamad menerima hadiah tambahan daripada Honda Malaysia.

Kuala Lumpur: Honda Malaysia sudah menyerahkan 2,200 unit model WR-V serba baharu dalam tempoh sebulan sejak pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil pada Julai lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, WR-V serba baharu menjadi model kedua terlaris dalam barisan jenama Honda pada Julai.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan atas kepercayaan mereka terhadap jenama Honda dan sokongan untuk WR-V serba baharu, yang menjadi model SUV kecil bukan nasional.

"Sejak dilancarkan, model ini telah diterima baik di pasaran dan mencapai prestasi jualan yang luar biasa dengan varian RS menjadi penyumbang terbesar 60 peratus dari jumlah jualan setakat ini," katanya dalam kenyataan.

Selain pengumuman penyerahan model WR-V, Honda Malaysia juga meraikan pelanggan pertama yang membuat tempahan awal model berkenaan pada majlis penyerahan rasmi di Accord Auto Sdn Bhd awal bulan ini.

Pelanggan pertama yang memiliki WR-V ialah Nurain Mohamad dengan Honda Malaysia turut menghadiahkan aksesori Honda, salutan badan kaca ultra dan barangan rasmi Honda bernilai RM5,000.

Sementara itu, Honda Malaysia berkata, untuk memastikan ketenangan fikiran bagi pemandu dan penumpang, WR-V serba baharu dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, antaranya ialah Honda LaneWatch, yang menjadi ciri standard untuk semua varian.

Ia turut didatangkan dengan teknologi Honda SENSING yang mempunyai lapan fungsi keselamatan termaju.

Selain itu, varian RS dilengkapi dengan Honda CONNECT, yang membolehkan ketersambungan ke kereta dari mana-mana sahaja pada bila-bila masa melalui telefon pintar pemilik.

Teknologi terbabit boleh meningkatkan aspek keselamatan dan kemudahan yang lebih baik kepada pemilik WR-V serba baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 2:56 PM