HIRONOBU Yoshimura (kiri) bergambar dengan Honda CR-V baharu pada tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
HIRONOBU Yoshimura (kiri) bergambar dengan Honda CR-V baharu pada tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Nur Amira Mohd Hedzer

Kuala Lumpur: Honda Malaysia merekodkan lebih daripada 80,000 unit jumlah jualan, sekali gus mencapai sasaran jualan tahunannya untuk 2023.

Pencapaian yang luar biasa ini telah membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan nombor satu dalam kereta penumpang bukan nasional, bagi segmen kenderaan untuk tahun ke-10 berturut-turut sejak 2014.

Tahun 2023 merupakan tahun pemulihan beransur-ansur dan prospek positif bagi Honda Malaysia, dengan pelancaran empat model baharu pada suku kedua.

Model-model terbabit ialah WR-V, City, Civic Type R dan CR-V serba baharu.

Sementara itu, tiga model terlaris pada 2023 ialah City, HR-V dan City Hatchback yang masing-masing menyumbang 30 peratus, 25 peratus dan 13 peratus kepada jualan keseluruhan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, model WR-V, HR-V, CR-V dan Civic muncul sebagai nombor satu dalam segmen masing-masing.

"2023 terbukti sebagai tahun yang mencabar di mana kami menghadapi pasaran yang kompetitif. Walau bagaimanapun, Honda Malaysia berjaya mengatasinya dan mencapai sasaran jualan pada 2023 dengan sokongan padu daripada pengedar dan kerajaan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yoshimura berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan Honda yang telah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini melalui sokongan mereka terhadap jenama Honda.

"Pencapaian cemerlang Honda Malaysia tahun ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelancaran WR-V pada bulan Julai dan SUV (kenderaan utilitik sukan) kecil ikonik itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pasaran.

"Varian RS ialah penyumbang terbesar, menyumbang 60 peratus daripada jumlah jualan setakat ini dan syarikat telah menjual lebih daripada 7,800 unit WR-V dalam tempoh enam bulan pertama pelancaran, sekali gus membuktikan populariti WR-V di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Yoshimura berkata jualan untuk model hibrid Honda Malaysia (e:HEV) juga meningkat daripada 4,100 unit pada 2022 kepada lebih 7,700 unit pada 2023 dan mewakili pertumbuhan 87 peratus bagi model e:HEV yang diterima baik dalam pasaran.

"Pada 2023, model e:HEV Honda menyumbang 28 peratus kepada keseluruhan jualan hibrid di Malaysia, yang merupakan sumbangan penting kepada pertumbuhan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) di negara ini.

"Honda Malaysia komited untuk menyediakan kualiti terbaik dari segi penawaran produk, jualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggannya dan syarikat optimis mengenai sektor automotif pada 2024, yang dijangka menjadi satu lagi tahun yang menarik untuk industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 3:04 PM