TAN (kanan) pada pelancaran peti sejuk dua pintu Samsung RT7000 ‘Refrigerator with Twin Cooling Plus technology’, semalam.
TAN (kanan) pada pelancaran peti sejuk dua pintu Samsung RT7000 ‘Refrigerator with Twin Cooling Plus technology’, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Samsung Malaysia Electronics (Samsung Malaysia) optimis pengenalan peti sejuk dua pintu terbarunya iaitu ‘RT7000 Refrigerator with Twin Cooling Plus technology’ akan mengukuhkan lagi kedudukannya selaku peneraju dalam pasaran peti sejuk di negara ini.

Ketua Elektronik Penggunanya, Jimmy Tan berkata, keyakinan itu berdasarkan inovasi ditawarkan melalui produk berkenaan di mana ia dijangka memenuhi keperluan pengguna yang ingin mengekalkan kesegaran makanan dan minuman dalam tempoh lebih lama.

“Peti sejuk dengan teknologi penyejukan dwi plus ini akan memastikan pengguna dapat menyimpan makanan bebas bau, fleksibel dalam penggunaan ruang dan menjimatkan tenaga,” katanya pada pelancaran peti sejuk dua pintu Samsung RT7000 ‘Refrigerator with Twin Cooling Plus technology’ di sini, semalam.

Secara umumnya, peti sejuk konvensional berhadapan cabaran mengekalkan kesegaran makanan dan bebas bau disebabkan bahagian peti ais dan penyejuk beku berkongsi satu penyejat, sekali gus membuatkan bau makanan bercampur antara bahagian dan memberi kesan kepada kesegaran dan rasa makanan yang disimpan.

Teknologi Twin Cooling Plus menyaksikan peti sejuk dua pintu itu memiliki sistem penyejukan bebas dengan dua aliran udara berasingan bagi memenuhi keperluan di bahagian terbabit dan mencegah pencampuran bau serta mengekalkan rasa asli makanan.

Beliau berkata, teknologi itu akan memastikan tahap kelembapan berada pada tahap bersesuaian dengan kadar kelembapan sehingga 70 peratus dalam peti sejuk di mana ia dapat memastikan pengguna tidak risau mengenai kekeringan dan tidak segar di dalam peti sejuk.

“Peti sejuk ini sesuai dengan keperluan setiap keluarga dan memenuhi pelbagai keperluan serta gaya hidup melalui ciri-ciri pertukaran pintar di mana ia menawarkan lima mod berbeza iaitu biasa, jimat tenaga, percutian, maksimum dan peti sejuk mini,” katanya.

Produk premium itu ditawarkan dalam 15 varian dengan kapasiti antara 340 hingga 710 liter pada harga runcit bermula RM1,699 hingga RM3,599.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 6:55 AM