ABDUL Fattah (tiga dari kiri) dan Denny (kanan) menurunkan tandatangan untuk MoU.
ABDUL Fattah (tiga dari kiri) dan Denny (kanan) menurunkan tandatangan untuk MoU.

Kuala Lumpur: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan Samsung Malaysia Electronics menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem perniagaan koperasi khususnya dalam sektor inovasi dan teknologi dengan membuka ruang untuk gerakan ini mempelbagaikan penawaran produk kepada pengguna dan ahlinya.

MoU itu ditandatangani Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Presiden Samsung Malaysia Electronics, Denny Kim.

Abdul Fattah berkata, kerjasama itu tanda kepercayaan dan keyakinan yang diberikan peserta industri kepada Angkasa dan gerakan koperasi di samping mengiktiraf potensi dan nilai yang besar dibawa gerakan koperasi kepada landskap perniagaan.

Menurutnya, dalam fasa pertama kerjasama itu, koperasi boleh mendapatkan bekalan produk melalui sistem dalam talian iaitu JimatBiz pada harga lebih rendah daripada pasaran.

"Koperasi mempunyai kebebasan untuk menjual atau menyimpan barang berkenaan bergantung strategi perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bagi fasa kedua dan seterusnya, pengguna boleh mendapatkan peranti melalui anak syarikat Angkasa, MyAngkasa Holdings Sdn Bhd selain pengguna mempunyai kemudahan membeli produk Samsung secara dalam talian dan mempunyai pilihan membayar secara ansuran melalui kemudahan secara potongan gaji.

"Ciri tambahan ini juga sejajar dengan matlamat Angkasa untuk memperkasakan koperasi dan ahlinya serta menyediakan akses kepada peranti berkualiti tinggi yang dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka," katanya.

Abdul Fattah berkata kerjasama ini mampu menguasai sebahagian besar pasaran, sekurang-kurangnya dalam kalangan lebih tujuh juta ahli koperasi di seluruh negara.

"Angkasa juga berharap kerjasama ini menjadi pendorong kepada lebih banyak kerjasama dengan peserta industri lain di luar sana, sekali gus memperkuat ekosistem koperasi yang memberi manfaat besar kepada ahli koperasi dan masyarakat umum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 6:01 AM