Mohamed Farid Noh


Kulai: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 100 koperasi terbabit dalam industri ternakan ayam dengan pengeluaran kira-kira 30 juta ayam daging setahun, menjelang tahun depan.

Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu diambil sejajar dengan permintaan pengguna yang meningkat sekali gus menyahut hasrat kerajaan yang mahu koperasi bergiat aktif dalam mengusahakan ternakan ayam.

Sehubungan itu, Abdul Fattah yang juga Presiden Asean Co-operative Organization (ACO) berkata, Angkasa akan membantu ahlinya membina 100 reban dalam masa terdekat bagi memulakan segera penternakan ayam secara ladang kontrak berskala besar.

"Sebenarnya, sudah ada 19 koperasi yang mengusahakan penternakan ayam secara kecil-kecilan dengan pengeluaran kira-kira 5,000 ekor ayam daging sebulan, namun dengan seruan kerajaan supaya koperasi menceburi bidang ternakan ayam, kita akan sahut dan lakukannya secara besar-besaran.

"Angkasa akan membantu 19 koperasi ini bagi memperkasa reban ternakan mereka ke kapasiti tinggi yang mampu mengeluarkan 50,000 ekor ayam daging sebulan.

"Kita juga akan menggerakkan usaha membina 100 lagi reban yang akan diusahakan 100 koperasi sama ada di negeri ini atau negeri lain.

DATUK Seri Dr Abdul Fattah (dua dari kanan) dan Mohd Norulhizam melihat ayam segar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Seri Dr Abdul Fattah (dua dari kanan) dan Mohd Norulhizam melihat ayam segar. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Bagi koperasi yang mempunyai tanah, proses pembinaan reban akan segera dimulakan. Angkasa juga akan memohon kepada kerajaan Johor untuk memperuntukkan 25 plot tanah yang dikhaskan untuk mengusahakan Bank Makanan negeri bagi diusahakan penternakan ayam daging berskala besar.

"Kita memerlukan antara 2.83 hingga 4.04 hektar tanah setiap plot bagi membina reban ayam berkapasiti tinggi itu supaya penternakan ayam skala besar ini diusahakan koperasi dapat dimulakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Angkasa, Koperasi Negeri Johor dan Syarikat Global Mars Sdn Bhd bagi membuka ruang kerjasama kepada koperasi untuk pembangunan perniagaan industri ayam halal.

Hadir sama Pengerusi Angkasa Johor Sazali Abd Hamid dan Penasihat Mars Global Sdn Bhd Khairul Rizam Othman.

Pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengesyorkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, pertubuhan peladang, dan koperasi terbabit dalam penternakan ayam bagi mengurangkan kebergantungan kepada syarikat-syarikat pengeluaran ayam besar.

Pada 31 Mei lalu pula, kerajaan dilaporkan memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta di bawah 'Skim Agro Food Facilities' bagi menggalakkan pengeluaran bahan makanan yang diuruskan koperasi berasaskan agromakanan.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa tiada masalah dalam memasarkan ayam yang diternak berikutan mempunyai gabungan sebanyak 14,825 koperasi di dengan tujuh juta ahli di seluruh negara.

"Angkasa akan menggerakkan gabungan koperasi kita dalam pemasaran dan sudah pasti ahli kita sendiri berminat membeli ayam segar yang diusahakan koperasi.

"Kita juga mempunyai akses di 6,000 masjid seluruh negara bagi memasarkan ayam daging yang diusahakan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 3:52 PM