DARI kiri Louis, Tan, Fatah dan Shaharuddin jalin kerjasama untuk memasarkan produk sejuk beku.
DARI kiri Louis, Tan, Fatah dan Shaharuddin jalin kerjasama untuk memasarkan produk sejuk beku.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


MyAngkasa Sdn Bhd (MyAngkasa), anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Saudee Group Berhad.

MoU itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak meneroka pasaran produk sejuk beku di bawah jenama MyAngkasa.

Ini membolehkan MyAngkasa menawarkan produk sejuk beku yang dikeluarkan Saudee pada harga istimewa.

Dalam jangka panjang, MyAngkasa boleh mempromosikan produk itu ke peringkat global melalui kerjasama koperasi antarabangsa.

Perjanjian kedua adalah Perjanjian Tingkat Layanan (SLA) yang membolehkan MyAngkasa belajar kepakaran pemasaran, pengetahuan dan pengalaman dengan rangkaian infrastruktur dan operasi yang ada.

Ia bagi tujuan mengambil pesanan jualan, membekalkan dan menghantar produk kepada ahli koperasi di seluruh negara.

Perjanjian ini membolehkan MyAngkasa membuat penjualan dan pemasaran makanan sejuk beku halal kepada ahlinya.

Ia dijangka memberi faedah yang signifikan kepada Saudee Group Sdn Bhd dan MyAngkasa Sdn Bhd.

Antara produk itu ialah MyAngkasa Premium Burger, MyAngkasa Mini Premium Burger, MyAngkasa Beef Jumbo Sausage dan MyAngkasa Black Pepper Jumbo Sausage.

Turut dijual, MyAngkasa Cheese Jumbo Sausage, MyAngkasa Grill Jumbo Sausage, MyAngkasa Chicken Bites, MyAngkasa Mexicana Chicken Bites dan MyAngkasa Swiss Chicken Bites.

Perjanjian itu dimeterai antara Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah dan Pengarah Eksekutif Saudee Group, Louis Tan.

Hadir sama, Pengarah Urusan Saudee Group, Tan Kang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyAngkasa, Shaharuddin Mohamed.

Abdul Fatah berkata, perjanjian itu membolehkan MyAngkasa Holding mengedarkan produk jenama MyAngkasa.

“Dianggarkan seramai 8 juta ahli koperasi dengan 12,000 koperasi didaftarkan, produk berkenaan boleh dibeli pada harga berpatutan.

“Ia akan ditempatkan di 5,000 koperasi seluruh negara,” katanya.

Melihat potensi besar, Angkasa mengambil langkah merebut peluang memasarkan produk yang belum diterokai mana-mana pihak.

“Ini adalah strategi Angkasa untuk mencapai atau menjayakan hasrat kerajaan yang ingin melihat sektor koperasi sebagai sektor ketiga yang membantu menggerakkan ekonomi di negara ini,” katanya.

Katanya, selain berperanan menaungi gerakan koperasi di Malaysia, Angkasa diberi tangungjawab merangsang dan memajukan perniagaan koperasi sama ada yang sedia ada atau baru.

“Ia juga bagi mewujudkan jaringan di peringkat domestik atau antarabangsa,” katanya.

Produk jenama Saudee dipilih kerana syarikat itu terkenal dalam pasaran tempatan selain mempunyai kelulusan dan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 10:28 AM