AMIRUDIN  (dua dari kanan) diiringi  Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif MGB Berhad, Datuk Abdul Majit Ahmad Khan (kanan) melihat replika rumah contoh Idaman Sari dan Idaman Cahaya 2.
AMIRUDIN (dua dari kanan) diiringi Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif MGB Berhad, Datuk Abdul Majit Ahmad Khan (kanan) melihat replika rumah contoh Idaman Sari dan Idaman Cahaya 2.

SEJUMLAH 1,853 unit rumah mampu milik ditawarkan menerusi projek Rumah Idaman Cahaya di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 yang membabitkan tiga fasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek pembangunan di atas tanah seluas 16.52 ekar itu sudah dimulakan bagi fasa satu dan dua serta dijangka siap pada 2025.

"Kerja-kerja awal tanah sudah dimulakan untuk dua fasa yang masing-masing menyediakan 568 dan 872 unit rumah. Fasa ketiga pula akan membabitkan 413 unit.

"Projek Rumah Idaman menyediakan pilihan rumah mampu milik dengan variasi susun atur dan harga menarik bermula RM250,000 yang mana setiap unit di Idaman Cahaya direka eksklusif bagi memenuhi keperluan pemilik rumah moden, lengkap dengan peralatan penting seperti penyaman udara, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen, dan pemanas air," katanya pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Rumah Idaman MBI Fasa Ketiga - Idaman Cahaya di sini, semalam.

Projek rumah Idaman Cahaya dilaksanakan antara Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) melalui anak syarikatnya PNSB Construction Sdn Bhd dengan kerjasama MGB Bhd (MGB).

Selain Idaman Cahaya, PNSB dan MGB turut bekerjasama melaksanakan projek Idaman Sari di Puchong yang membabitkan 513 unit rumah di atas tanah seluas 6.06 ekar.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya berbangga dapat berganding bahu dengan kerajaan untuk merealisasikan visi mereka dalam menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

"Berdasarkan kepada pengalaman pembinaan, kami yakin dapat memberikan yang terbaik terhadap kualiti Rumah Idaman MBI sekaligus mencapai penanda aras rumah mampu milik di Selangor.

"Sistem pratuang IBS (Sistem Binaan Berindustri) dalam setiap pembangunan Rumah Idaman MBI mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menjadi penyedia penyelesaian perumahan dan dalam jangka pendek, objektif utama kami adalah untuk memastikan kelancaran pembinaan baki projek Rumah Idaman MBI, yang akan memacu pertumbuhan berterusan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim turut menekankan komitmen PNSB untuk terus membangunkan Rumah Idaman di lokasi penting berprospektif tinggi di Selangor, termasuk di daerah-daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"PNSB turut sama berkolaborasi dalam membina sejumlah 22 projek lagi dengan kerjasama strategik pemaju perumahan bereputasi.

"Sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 sudah siap dibina, manakala baki enam pembinaan untuk 5,596 unit di empat daerah lain sedang pesat dibangunkan," katanya.

Kriteria kelayakan umum bagi Projek Rumah Idaman MBI adalah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah bekerja atau menetap di Selangor.

Kriteria tambahan termasuk pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan dan tiada pemilikan hartanah terdahulu di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 7:00 AM