Hock San (tengah) bersama Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim (dua dari kanan); Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Isaac Lim (dua dari kiri); Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, Daniel Chew dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Victor Wong pada majlis “roof-topping” Idaman BSP.
Hock San (tengah) bersama Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim (dua dari kanan); Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Isaac Lim (dua dari kiri); Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, Daniel Chew dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Victor Wong pada majlis “roof-topping” Idaman BSP.

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB) penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta subsidiari LBS Bina Group Berhad, mengumumkan bahawa ia berjaya menyiapkan struktur binaan Idaman BSP dengan mengadakan majlis "roof-topping".

Terletak di Bandar Saujana Putra, Idaman BSP adalah projek pertama daripada enam projek Rumah Idaman MBI yang dilancarkan oleh MGB dengan kerjasama PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Rumah Idaman MBI adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menawarkan kediaman mampu milik bagi semua rakyat yang menetap di Selangor dan dibina di lokasi utama dengan akses kepada kemudahan lengkap di seluruh negeri.

Projek-projek Rumah Idaman MBI mendapat sambutan positif berikutan harga mampu milik dan lokasi strategik dengan kesemua unit Rumah Idaman BSP habis dijual sejak pelancarannya.

Dengan harga bermula daripada RM250,000, setiap unit dilengkapi perabot seperti pendingin hawa, televisyen dan kabinet televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari pakaian terbina dan pemanas air.

Rumah mampu milik yang terdiri daripada dua blok dengan 1,312 unit dengan Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM375.41 juta, Idaman BSP dibina menggunakan Panel Konkrit Pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB, yang dikeluarkan di kilangnya di Nilai melalui subsidiarinya MGB Sany (M) Sdn Bhd.

Teknologi ini berupaya membantu menjimatkan masa pembinaan sehingga 33 peratus.

Di samping itu, IBS menggunakan teknologi automasi untuk menghasilkan Panel Konkrit Pratuang sekaligus mengekalkan kualiti pembinaan dengan membantu mengurangkan penggunaan tenaga buruh di tapak pembinaan sehingga 49 peratus.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, majlis "roof-topping" ini menandakan kejayaan Kumpulan dalam menyiapkan struktur projek Rumah Idaman MBI yang pertama.

"Dengan menggunakan Panel Konkrit Pratuang IBS, masa pembinaan dapat dipendekkan dan membolehkan pembeli rumah kami menerima rumah mereka lebih awal dari yang dijadualkan.

"Oleh yang demikian, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada PNSB Construction Sdn Bhd di atas kejayaan kolaborasi, serta Kerajaan Negeri Selangor di atas usaha mereka di dalam membantu dan bekerjasama dengan MGB untuk membangunkan Rumah Idaman MBI," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan pembangunan bagi kesemua 7,210 unit Rumah Idaman MBI termasuk di Idaman BSP, dapat dibina dengan cekap dan siap lebih awal daripada yang dijadualkan kepada pemilik rumah.

"Seiring dengan matlamat untuk membina lebih banyak projek Perumahan Rumah Idaman MBI, Panel Konkrit Pratuang IBS kekal sebagai komponen penting di dalam operasi MGB sekaligus membantu mengurangkan kos tenaga buruh sehingga 31 peratus.

"Kecekapan dan penjimatan di dalam pembinaan ini mewujudkan daya saing berterusan dan mampu membantu misi kami untuk menyediakan rumah mampu milik bagi rakyat Malaysia.

"Hartanah kami yang dibina menggunakan teknologi IBS kini telah melebihi 8,000 unit, dan dijangka mencecah 10,000 unit menjelang akhir tahun ini. "Pencapaian ini adalah bukti kepada komitmen kami di dalam menghasilkan kediaman berkualiti tinggi dan konsisten menggunakan sistem IBS yang telah diberi penelitian khusus serta ditambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 5:07 PM