KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melalui Universiti KPJ Healthcare (KPJU) dan Hospital Pakar KPJ Seremban (KPJ Seremban), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fujifilm Malaysia Sdn Bhd (Fujifilm Malaysia), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) untuk mengukuh, memupuk dan membangunkan kerjasama penyelidikan bagi memanfaatkan kemajuan sektor penjagaan kesihatan.

Perjanjian itu akan membolehkan Fujifilm Malaysia, KPJU, UM, UPM dan Hospital KPJ bekerjasama dalam usaha inovasi, meningkatkan kualiti penjagaan pesakit dan meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan dalam bidang pengimejan perubatan.

Jalinan kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam diagnostik perisian perubatan dalam imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Dengan menggabungkan kepakaran industri Fujifilm Malaysia dan keupayaan penyelidikan semua pihak yang terbabit, pengesanan kontras yang lebih baik dan tepat mampu dicapai dalam imbasan CT dada dan perut untuk manfaat pesakit secara amnya.

Pengarah Eksekutif KPJU, yang juga Pegawai Pimpinan, KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, usaha ini akan menjadi satu langkah penting ke arah menyediakan platform kerjasama untuk semua pihak dalam mengenal pasti, merancang dan memanfaatkan pandangan dan pertukaran ilmiah terbaik.

"Ini juga akan membantu mengukuhkan pengetahuan yang boleh memacu perubahan transformatif dalam mentakrifkan semula penjagaan kesihatan.

"Kami menjangkakan kerjasama itu akan memberi manfaat kepada KPJU, pelajarnya dan industri penjagaan kesihatan secara keseluruhan, terutama apabila kami menggabungkan sumber dan kecerdasan untuk mencipta hasil yang lebih baik untuk semua.

"Bagi KPJ Healthcare, melalui janji kami untuk Care for Life, usaha ini bukan sahaja memacu kecemerlangan klinikal kami untuk mencapai hasil penyembuhan terbaik, tetapi ia juga akan memastikan pesakit kami menerima penjagaan paling komprehensif dan holistik," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerjasama itu adalah titik penting dalam usaha Kumpulan menubuhkan Pusat Penyelidikan KPJ, sebuah integrasi strategik antara kemudahan penyelidikan sedia ada KPJ Healthcare dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) di KPJU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 7:00 AM