Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.
BERNAMA

Kuala Lumpur: KPJ Healthcare Bhd, syarikat penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia mengumumkan fokus yang telah diperbaharui, menggariskan aspirasi pertumbuhan syarikat dalam industri penjagaan kesihatan.

Presiden dan Pengarah Urusan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata selain daripada mengoptimumkan proses dalaman dan penyampaian penjagaan kesihatan, KPJ Healthcare juga akan meneliti semula perniagaan semasa dan portfolio pelaburannya di dalam dan luar negara.

"Adalah penting juga untuk mengenal pasti peluang perniagaan baharu untuk pertumbuhan dan mengukuhkan kepercayaan antara pemegang saham dan pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shukrie turut menambah KPJ Healthcare mempunyai reputasi baik dalam menyampaikan rawatan kesihatan, penjagaan dan diagnosis yang canggih di negara ini.

Beliau berkata adalah penting bagi KPJ Healthcare untuk melaksanakan pelan hala tuju transformasi digital dan menaik taraf Sistem Maklumat Hospital untuk memberikan pengalaman yang luar biasa untuk pesakit sambil meningkatkan keselamatan dan kecekapan pesakit.

"Kesan pandemik terhadap perniagaan kami di rantau ini selama dua tahun yang lalu ini telah dikaji dengan teliti dan memberi peluang untuk kami menimba pengetahuan baharu menganalisis data yang tepat dengan lebih mendalam agar terus cekap dan responsif.

"Dalam persekitaran operasi baharu ini, kami akan menyusun semula perniagaan supaya dapat terus berkembang dengan mampan dan mencapai penjanaan nilai yang dijanjikan melalui kepelbagaian penyelesaian penjagaan kesihatan yang jelas dan berbeza yang ditawarkan kepada pasaran," jelas beliau.

Selain itu, KPJ Healthcare kini sedang giat menjalankan tinjauan strategik terhadap unit-unit perniagaan dan struktur korporatnya yang juga sebahagian daripada tindakan proaktif syarikat untuk memacu penjimatan kos dan meningkatkan kecekapan merentasi semua bahagian perniagaannya.

Usaha-usaha yang dilaksanakan termasuklah mengkaji data prestasi syarikat untuk mengoptimumkan kos dan sumber-sumbernya, kecemerlangan operasi dan inisiatif penambahbaikan yang berterusan yang akan membolehkan KPJ Healthcare melabur dalam peluang yang memberikan pulangan yang berterusan.

"Kami akan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan digital untuk menyediakan akses mudah penjagaan kesihatan yang unggul kepada pasaran, serta menceburi dalam menyediakan perkhidmatan dan inovasi baharu seperti perubatan ketepatan, dan kesejahteraan kesihatan," kata Mohd Shukrie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 2:29 PM