GRADUAN cemerlang KPJU dari kiri, Dr Tan, Nurul Ilham, K Deviga dan Rania Amal Mohd Haris ketika Majlis Konvokesyen KPJ Healthcare University (KPJU) ke-25, semalam.
GRADUAN cemerlang KPJU dari kiri, Dr Tan, Nurul Ilham, K Deviga dan Rania Amal Mohd Haris ketika Majlis Konvokesyen KPJ Healthcare University (KPJU) ke-25, semalam.

Kuala Lumpur: "Saya bangga menjadi seorang graduan KPJU dan berjaya menamatkan Sarjana Muda dalam Psikologi," kata Nurul Ilham Abd Talib, 24.

Nurul Ilham berkata, penat lelahnya selama tiga tahun berbaloi apabila dia berjaya menerima dua anugerah tertinggi daripada KPJ Healthcare University (KPJU) dalam bidang psikologi iaitu Johor Corporation President dan Chief Executive Award.

Sebagai ahli majlis perwakilan pelajar (MPP), dia berkata, antara cabaran dihadapi sepanjang pengajian adalah mengimbangi waktu belajar dan aktiviti MPP.

"Saya memang minat bidang psikologi dan dengan sokongan keluarga terutama ibu, ia mendorong saya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Disebabkan ketika diploma saya mendapat keputusan cemerlang, saya ditawarkan Biasiswa KPJ serta pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (Mara), ia amat membantu dari segi kewangan," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, seorang lagi graduan KPJU, Dr Tan Wei How, 30, turut berbangga apabila berjaya menamatkan program Sarjana Ortopedik sekali gus bergelar pakar ortopedik.

"Sebelum ini saya bekerja di hospital kerajaan dan kemudiannya di Jabatan Ortopedik KPJ Seremban. Saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di KPJU dalam program Sarjana Ortopedik selama empat tahun," katanya.

Menurutnya, walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan bekerja, namun dengan sokongan keluarga dan majikan dia berjaya bergelar Pakar Ortopedik pertama di KPJU.

Nurul Ilham dan Dr Tan antara 1,300 graduan KPJU yang dianugerahkan Sijil Universiti yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai disiplin penjagaan kesihatan.

Majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 KPJU itu diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) di sini, semalam.

Sementara itu, Canselor KPJU Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, KPJU sentiasa berusaha memastikan peningkatan reputasinya sebagai antara institusi pengajian tinggi terbaik dalam sains kesihatan di peringkat global.

Katanya, ia terbukti apabila graduan KPJU mendapat pekerjaan dan diiktiraf di beberapa negara seperti Thailand, Brunei, Indonesia, Arab Saudi dan terbaru di Singapura.

"Berdasarkan analisis data alumni 2022, KPJU mencapai peratusan 92 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduan.

"Kita juga berusaha menawarkan sesuatu yang unik kepada pelajar, industri dan pemegang taruh lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 7:01 AM