KETUA Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Suriani Ahmad (dua dari kiri) ketika pelancaran produk baharu, baru-baru ini. FOTO Ihsan pembaca.
KETUA Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Suriani Ahmad (dua dari kiri) ketika pelancaran produk baharu, baru-baru ini. FOTO Ihsan pembaca.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Platform beli-belah dagangan secara langsung, Shoppymore memperkenalkan dua inisiatif barunya, aplikasi mudah alih Shoppymore dan platform Dagangan Secara Langsung Lihat Imbas dan Bayar bagi menyokong jualan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Dr Barani Karuna Karan berkata, ciri aplikasi dan platform baru Shoppymore ini dijangka dapat mengukuhkan kedudukannya dalam kategori membeli-belah secara langsung (Live Shopping).

Katanya, aplikasi mudah alih dan platform dagangan secara langsung (Live Commerce) ini juga bakal menarik lebih banyak trafik dan mendorong jualan PKS tempatan.

"Inisiatif baru Shoppymore ini diperkenalkan untuk membantu golongan penjual mengetengahkan dan mempromosikan produk mereka dengan pantas serta pada masa yang sama menjangkau khalayak yang lebih meluas.

"Menerusi platform 'Live Selling' dan 'Live Shopping', mereka juga boleh memperoleh jualan dengan lebih pantas dan kami menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta tahun ini," katanya.

Menurutnya, segmen Live Commerce pula direka untuk membantu dan mempromosikan pemasaran digital, meskipun penjual mempunyai pengetahuan dan pengalaman terhad.

Beliau berkata, usahawan Malaysia sebenarnya mengeluarkan produk berkualiti tinggi yang boleh dan seharusnya dipasarkan di peringkat antarabangsa menerusi platform digital.

"Kami berharap dapat membantu penjual kami membina dan mendigitalkan perniagaan mereka menerusi aplikasi mudah alih dan platform dagangan secara langsung, lihat, imbas dan bayar," katanya.

Dilancarkan pada Jun 2021, Shoppymore adalah rangkaian dagangan secara langsung yang boleh diakses di platform dalam talian dan mudah alih.

Ia meletakkan kedudukannya sebagai laman sesawang jual beli yang selamat dan terjamin, yang memberi penekanan terhadap integriti, amanah dan transaksi beretika, seterusnya menyediakan rakyat Malaysia pengalaman visual, interaktif dan pembabitan yang unik.

Shoppymore juga memudahkan pendigitalan usahawan PKS, mikro dan makro Malaysia yang membuka laluan mereka kepada platform e-runcit menerusi bimbingan, tunjuk ajar dan perundingan.

Menerusi tumpuan untuk mencipta pengalaman terbaik kepada kedua-dua pihak penjual dan pembeli, Shoppymore adalah pilihan tepat untuk penjualan dan membeli-belah secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 6:55 PM