Jualan di TikTok Shop mampu mencecah sejuta dalam masa sebulan. - FOTO Nor Fatin Nabila Sukri
Jualan di TikTok Shop mampu mencecah sejuta dalam masa sebulan. - FOTO Nor Fatin Nabila Sukri
Nur Amirah Abd Rani

PERNIAGAAN digital adalah antara tonggak utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Aplikasi digital seperti TikTok mewujudkan ruang serta platform jualan dalam talian kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan bagi menjana lebih banyak pendapatan. 

Berkongsi pengalaman, pengurus pemasaran Kedai Suzara, Nor Fatin Nabila Sukri, peluang keemasan ini diambil apabila beliau mula melancarkan kedai dalam talian TikTok Shop pada 2022. 

Mesra disapa Nabila, beliau berkata berniaga di TikTok Shop lebih mudah kerana platform ini diakui lebih mesra pengguna kerana pelanggan akan memahami penjelasan mengenai produk apabila interaksi dilakukan secara langsung. 

"Keupayaan TikTok Shop adalah unik kerana proses jual beli lebih mudah seperti ketika sesi LIVE dan kami boleh memberikan penjelasan serta melakukan demonstrasi produk selain berinteraksi bersama pembeli," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Kekerapan sesi siaran LIVE juga dapat menarik minat pelanggan melalui tawaran pelbagai baucar dan diskaun menarik pada harga berpatutan. 

Katanya, faedah yang diperolehi daripada TikTok Shop termasuk baucar langsung yang dibiayai sepenuhnya, akses pelanggan kepada produk berkualiti pada harga yang lebih berpatutan, sekali gus memberi manfaat kepada semua yang terlibat.

"Sebagai penjual, kami mendapat manfaat daripada pemasaran kos sifar, trafik yang tinggi, pangkalan pengguna yang aktif, proses pendaftaran produk yang mudah dan caj transaksi yang menjimatkan kos.

"Siapa sangka dengan produk serunding dan dodol kami mampu mencapai jualan mencecah sejuta dalam masa sebulan bermula Julai hingga Ogos 2023 hanya menggunakan kandungan video, siaran langsung dan ahli gabungan, tanpa sebarang perbelanjaan pemasaran tambahan," katanya.

Pelanggan boleh mendapatkan produk yang diingini pada harga lebih murah dengan baucar yang ditawarkan ketika sesi siaran LIVE. 

TikTok Shop menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk kupon, promosi dan pengalaman membeli-belah yang lancar daripada perspektif pengguna.

Kehadiran kandungan langsung dan video memastikan kejelasan produk dan penghantaran yang lebih cepat. 

Selain itu, gaya kandungan "shoppertainment" di TikTok turut membantu peniaga  mencipta kandungan video produk yang menarik dan mudah untuk sampai kepada bakal pembeli. 

Ini kerana, gaya kandungan akan dicadangkan berdasarkan kegemaran peribadi yang akan disesuaikan mengikut keperluan dan kehendak pengguna dengan mencadangkan video-video produk berkaitan kepada pelanggan. 

Selain itu, TikTok Shop turut menggunakan pangkalan pengguna aktif platform, kandungan serta cadangan produk memudahkan kandungan menjangkau khalayak yang lebih luas.

Pada masa sama, Nabila turut berusaha untuk menambah baik pengeluaran serta membesarkan skala kilang agar dapat memenuhi tempahan yang semakin meningkat. 

"Kami sangat teruja dan amat berterima kasih atas pencapaian ini dan berharap TikTok Shop terus berkembang, dan menyokong perniagaan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 10:04 AM