Nurshafika Suhaimi

Kuala Lumpur: Platform e-dagang terkemuka di Malaysia, TikTok Shop melancarkan kempen #JOMLokal sebagai penghargaan yang lebih tinggi terhadap jenama dan produk tempatan.

Diinspirasikan oleh rakyat Malaysia, kempen ini akan dilancarkan bermula bulan ini dan sepanjang tahun 2024 yang membabitkan pelbagai perkongsian, pertandingan dan pameran penjual untuk mengukuhkan serta memperkasakan jenama tempatan dalam landskap e-dagang yang sedang berkembang. 

Menonjolkan jenama tempatan, TikTok Shop menjadi batu loncatan penting bagi ramai usahawan tempatan yang terkenal.

Justeru, kempen #JOMLokal ini dilihat memberi peluang kepada usahawan Malaysia di kawasan luar bandar untuk menjangkau lebih ramai pelanggan selain  pendedahan pelbagai jenama Malaysia yang sedia ada di TikTok Shop.

Seperti pengalaman usahawan muda Hafiz Oon atau lebih dikenali sebagai Mr Bentong, dia mampu mencapai jualan RM1 juta dalam hanya satu sesi penstriman langsung (LIVE) sahaja menerusi kempen Super Creator Day.

Bermula dengan menjual minuman tambahan kesihatan, kini Mr Bentong mula mempelbagaikan jualan di TikTok Shop miliknya dengan mempromosikan  rangkaian produk tempatan yang lain seperti emas, kacang gajus dan minuman 3-dalam-1, Sawanah Koko.

Ini sekali gus dapat membantu peniaga tempatan memperluaskan pasaran dan meningkatkan jualan mereka.

Raih jualan RM5 juta tidak sampai setahun

Siapa tidak kenal dengan pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang terkenal dengan produk 'Sambal Nyet' di pasaran.

Beliau mula menyertai TikTok Shop pada awal 2023 dengan menjual 'Sambal Nyet' dan telah mencapai RM5 juta dalam jualan di TikTok Shop.

Menariknya, 76 peratus hasil jualan 'Sambal Nyet' adalah daripada LIVE beliau sendiri yang kini aktif membantu peniaga tempatan yang lain.

Menerusi kempen ini, TikTok Shop akan mengetengahkan pelbagai jenama tempatan setiap minggu melalui segmen 'Rising Star' #JOMLokal bagi memudahkan pembeli menemui dan membeli produk tempatan yang serupa.  

Segmen ini termasuk pameran produk tempatan dan rangkuman trend pengguna di TikTok Shop yang membolehkan pengguna melihat barangan yang paling dicari atau 'trending' dalam tempoh itu. 

Selain itu, pada setiap minggu, TikTok Shop akan memberi tumpuan kepada kategori yang berbeza, seperti kecantikan dan penjagaan diri, sukan dan aktiviti luar serta fesyen Muslim.

Untuk membantu PKS berkembang, TikTok Shop akan memperkenalkan beberapa kempen jualan tambahan yang boleh disertai oleh jenama tempatan untuk meningkatkan jualan mereka.

Ini termasuk kempen Mega bulanan untuk menampilkan promosi barangan mereka melalui Product Zone, Baucar, dan Crazy Friday di mana penjual juga akan diberikan baucar tambahan untuk meningkatkan hasil jualan barangan dan Weekend Sale yang menawarkan barangan daripada usahawan luar bandar.

Tidak terhenti di situ, TikTok Shop akan menjalankan kempen #TikTokShopLokalHeroes dalam talian mulai 15 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024 untuk memperkenalkan lagi jenama tempatan di platform.

Melalui kempen ini, pengguna boleh mencalonkan produk buatan tempatan kegemaran mereka dan TikTok Shop akan mempromosikan jenama ini dengan bonus tambahan baucar platform bagi menggalakkan lebih ramai orang membeli-belah di dalam negara.

Menariknya, penjual yang dipamerkan ini juga akan bertanding untuk memenangi trofi #TikTokShopLokalHeroes, di mana pengguna boleh mengundi kedai ini melalui laman mikro yang ditetapkan.

Sepuluh penjual terbaik untuk bulan itu akan dipilih berdasarkan jumlah undian tertinggi yang diterima dan rating kedai tertinggi akan diberikan trofi, bersama baucar insentif yang boleh digunakan untuk TikTok Shop mereka. 

Untuk memperkasakan usahawan luar bandar, TikTok Shop juga melancarkan pelbagai inisiatif CSR yang memanfaatkan kawasan bukan bandar utama untuk memberi permulaan yang kukuh kepada usahawan baru apabila mereka memulakan perjalanan e-dagang mereka.

TikTok Shop, dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), akan menyalurkan hasil daripada 11.11 Mega LIVE Showdown kepada 30 usahawan mikro yang diuruskan oleh YWP.

Dana ini akan digunakan untuk menyokong permulaan perjalanan e-dagang mereka, terutamanya di TikTok Shop.

Bukan itu saja, TikTok Shop juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mempromosikan celik digital dalam kalangan usahawan luar bandar melalui pusat internet luar bandar (PEDI).

Ia bertujuan memberi bimbingan kepada lebih 1,000 penjual di 12 negeri di Malaysia melalui bengkel dan latihan dan sokongan aliran langsung. 

Di samping itu, TikTok Shop juga akan bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menganjurkan strim secara langsung kepada 50 usahawan luar bandar bagi meningkatkan keterlihatan produk keluaran tempatan, seterusnya meningkatkan keupayaan penstriman langsung mereka.

Lebih menarik, TikTok Shop akan bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menyampaikan latihan TikTok Marketing, TikTok Shop dan Shop Ads kepada 1000 penjual luar bandar dari 14 negeri di Malaysia melalui bootcamp dan insentif penjual.

Tidak cukup dengan itu, TikTok Shop akan berganding bahu bersama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi memperkasakan PKS tempatan melalui insentif tajaan untuk meningkatkan hasil jualan mereka. 

Dengan sokongan ini, 50 penjual pertama dapat meningkatkan jualan langsung mereka sebanyak 200 peratus dalam masa 90 hari.

Ketua Pemerolehan, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata,TikTok Shop komited untuk memupuk pertumbuhan keusahawanan tempatan.

"Kami mahu rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat, di kawasan bandar dan luar bandar, berpeluang untuk membangunkan set kemahiran mereka dan mengubah kehidupan melalui keusahawanan.

"Dengan bekerjasama dengan kedua-dua agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta  sokongan rakyat Malaysia, kami berharap #JOMLokal akan menjadi permulaan kepada peningkatan usaha ke arah membeli, menjual dan berkongsi semua perkara tempatan agar kami dapat terus menyokong satu sama lain sebagai komuniti." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 10:08 AM