ZUAIDA. FOTO BERNAMA
ZUAIDA. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berada di landasan untuk merealisasikan sasaran RM70 bilion bagi pelaburan berkaitan digital, sejajar dengan strategi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

Berasaskan strategi mantap dilaksanakan untuk memastikan pelaburan berkaitan digital kekal berdaya saing, Pejabat Pelaburan Digital (Dio), sebuah platform kerjasama antara Mida dan Malaysia Digital Economy Corporation (Mdec) berjaya memudah cara pelaburan bernilai RM66.47 bilion setakat September tahun lalu iaitu 99 peratus melebihi sasaran berdasarkan inisiatif MyDIGITAL.

Pusat data terkenal dan projek pengehosan data diluluskan termasuk Bridge Data Centres Malaysia III Sdn Bhd oleh China bersama ByteDance System Sdn Bhd serta syarikat senaraian awam Malaysia, YTL Power International Bhd menjadi bukti kesediaan Malaysia menjadi hos kepada lebih banyak projek pelaburan digital.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Perkhidmatan) Mida Zuaida Abdullah berkata, penerimagunaan digital dalam kalangan perniagaan di negara ini semakin pesat walaupun ia masih rendah dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disebabkan kekangan seperti kos teknologi dan ketiadaan strategi digital.

"Pendigitalan oleh perniagaan semakin lazim pada hari ini. Walaupun usaha itu mencabar bagi PKS, mereka perlu menerima kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Data Raya.

"Bagi tujuan ini, Mida memudahkan peserta industri dalam usaha transformasi digital mereka untuk mengurangkan jurang digital antara PKS Malaysia dan syarikat multinasional (MNC) di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 8:00 AM