GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyatakan komitmen untuk menyokong pelaksanaan MyDIGITAL – Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia – pemacu utama kepada pembangunan dan kejayaan negara.

MyDIGITAL bertujuan untuk menyediakan kerangka bagi melaksanakan transformasi digital Malaysia dan seterusnya mencapai visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menikmati kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi yang adil untuk negara.

Dalam kenyataan hari ini, MDEC berkata, inisiatif ini menekankan pendekatan manusia secara berpusat dan dihubungkan dengan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, memelihara nilai-nilai manusia dan warisan budaya.

"MDEC, dengan sokongan padu Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan meneruskan usaha memimpin ekonomi digital supaya terus berkembang maju serta berpusat bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya merealisasikan Malaysia 5.0.

"Ini berpandukan tiga teras utama iaitu menyediakan rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital," katanya.

Pengerusinya, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif berpaksikan digital seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan rakyat mendapat manfaat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

"Visi MDEC mengenai Malaysia 5.0 akan melengkapkan Rangka Tindakan MyDIGITAL yang holistik untuk mendorong pembentukan masyarakat yang sangat terintegrasi dengan teknologi, yang ditadbir secara praktik, inklusif dan adil berdasarkan amalan prinsip eko-persekitaran.

"Daripada perspektif kemahiran dan pekerjaan digital, MDEC telah mempercepatkan usaha untuk mengembangkan keupayaan digital dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Setakat ini, katanya lebih 3,800 kursus percuma telah ditawarkan dan menerima lebih 21,000 permohonan.

Dalam usaha untuk pendigitalan dan mengautomasikan perniagaan, katanya MDEC telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk 100GoDigital, SME Digital Accelerator, Geran Automasi Pintar dan SME Digital Quickwins untuk memastikan perniagaan kecil dilengkapi kemahiran mencukupi untuk menerima manfaat dan berdepan dengan cabaran ekonomi digital.

Setakat ini, katanya sebanyak 335,834 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah memasuki pasaran e-dagang dan MDEC akan terus meningkatkan jangkauan program ini.

"Saya bersyukur kerana inisiatif PKS yang dilaksanakan telah menarik banyak rakan kongsi seperti syarikat telekomunikasi dan bank untuk sama-sama menyokong PKS dan usahawan dalam perjalanan digitalisasi mereka," katanya.

Mengenai pelaburan digital, Rais Hussin berkata Malaysia telah menarik pelaburan RM345 bilion pada Disember 2019 dan mewujudkan hampir 185,000 pekerjaan.

"Pada tahun lepas, pelaburan baharu berjumlah RM3.92 bilion dan mewujudkan kira-kira 9,000 peluang pekerjaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan komited pantau keselamatan pengurusan data
  • Kerajaan bakal perkenalkan MY Device
  • MyDigital: 4 inisiatif wujudkan ekosistem digital berkesan
  • MyDigital sasar buka 500,000 peluang pekerjaan
  • MyDigital sasar buka 500,000 peluang g pekerjaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 1:52 PM