GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) memberi jaminan untuk menyokong inisiatif MyDIGITAL - Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan pada Jumaat serta rancangan lain kerajaan bagi melonjakkan pemulihan sosioekonomi terutamanya di saat-saat penting seperti sekarang.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Imri Mokhtar, kerjasama awam-swasta yang seumpamanya juga berupaya memacu negara menjadi Digital Malaysia sepenuhnya menjelang 2030 serta mewujudkan masyarakat, perniagaan serta kerajaan yang lebih digital.

"Sehubungan itu, kami ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan di atas usaha komprehensif MyDIGITAL - Rangka Tindakan Ekonomi Digital itu.

"Ini merupakan pendekatan holistik (menyeluruh) yang meliputi ketersambungan digital (gentian optik dan teknologi rangkaian selular generasi kelima atau 5G), prasarana digital (pengkomputeran awan dan keselamatan siber) serta kemahiran dan tenaga kerja digital bagi kemudahan kehidupan serta perniagaan untuk rakyat sejajar sebuah negara yang saling berhubung," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu bersempena pelancaran MyDIGITAL - Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia secara maya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pagi Jumaat yang bertujuan memacu transformasi Malaysia sebagai negara berkeupayaan teknologi serba maju menjelang 2030.

Menurut Imri, TM juga amat berterima kasih kepada kerajaan kerana syarikat itu menjadi satu-satunya pengendali awan Malaysia yang menerima 'Cloud Service Provider' (CSP) atau Penyedia Perkhidmatan Awan bagi sektor awam berserta lantikan 'Managed Service Provider' (MSP) sebagaimana diumumkan oleh Muhyiddin pada majlis tersebut.

Beliau juga menyifatkan TM telah berjaya muncul sebagai peneraju penyedia perkhidmatan awan dan pusat data menyeluruh yang menyediakan data dari segi penempatan, kawasan serta negara bagi sektor awam serta pelanggan perusahaan.

Menurutnya, TM akan terus memperkukuh aspek kesalinghubungan global negara dan ekosistem kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi antarabangsa, rakan kandungan dan syarikat mega digital atau 'hyperscalers.'

"Rangkaian global TM yang terus berkembang merangkumi lebih 20 kabel dasar laut sepanjang 190,000 kilometer, sentiasa bersedia untuk menyokong permintaan membabitkan kesalinghubungan global MyDIGITAL.

"TM membolehkan pengguna di setiap peringkat mendapat akses dan menikmati pengalaman ketersambungan bagi memudahkan lagi gaya hidup, kerja lebih digital menerusi hubungan kukuh kami dengan syarikat telekomunikasi, rakan kandungan dan syarikat mega berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:17 PM