KETUA Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman (kanan).
KETUA Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman (kanan).

Kuala Lumpur: Agrobank dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah menerusi Program Usahawan Asnaf Motor Roda Tiganya menyerahkan 10 motor roda tiga bernilai RM93,357.70 kepada usahawan asnaf di Majlis Penyerahan FoodMotor.

Program Usahawan Asnaf Motor Roda Tiga ini adalah antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank yang bertujuan untuk membantu asnaf yang terpilih meningkatkan pendapatan mereka melalui perniagaan menggunakan motor roda tiga.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu antara usaha berterusan Agrobank untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawanan dalam komuniti asnaf di Kedah.

"Ia bagi membuka peluang baharu kepada bakal usahawan daripada golongan asnaf dan juga meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa pasca-Covid-19.

"Melalui program yang berasaskan pembangunan perniagaan usahawan asnaf ini, Agrobank menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan asnaf yang berdikari, proaktif dan berdaya saing untuk turut sama terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan agromakanan, sekaligus berupaya keluar daripada status asnaf fakir dan miskin," katanya dalam kenyataan.

Majlis serahan ini disempurnakan Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman serta penerima yang terdiri daripada usahawan asnaf negeri Kedah minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:00 AM