MUSTAPHA
MUSTAPHA
Sri Ayu Kartika Amri


AGROBANK dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ekza Food Resources menawarkan peluang kepada lapan usahawan daripada golongan asnaf menerusi Program Keusahawanan Asnaf-Jom Sate.

Program ini untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawan dalam kalangan komuniti asnaf di Wilayah Persekutuan bagi membantu meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, proses membina perniagaan sate bagi lapan bakal usahawan terpilih sudah dipermudahkan di mana mereka menerima bantuan dan sokongan daripada kerjasama tiga pihak iaitu, Agrobank, MAIWP dan Ezka Food Resources.

"Seramai lapan usahawan terdiri daripada komuniti asnaf diberi bantuan zakat dan kemahiran latihan, termasuk proses pembelian peralatan membakar dan bahan mentah, memerap rempah ratus serta mencucuk sate. Semua diuruskan bersama supaya usahawan ini boleh terus memulakan perniagaan mereka dan terus berusaha untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka di masa hadapan.

"Azam kami di Agrobank untuk memanifestasikan program pembangunan usahawan yang menyambut dan menyokong seruan kerajaan dalam pelestarian ekonomi mikro seperti mana strategi Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara).

"Kami prihatin dan ambil maklum akan kepentingan untuk memastikan kesinambungan perniagaan bagi pengusaha perniagaan mikro meliputi lebih 90 peratus daripada keseluruhan perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS) di Malaysia.

"Ia adalah tunjang kepada pembangunan ekonomi dan perniagaan IKS," katanya dalam satu kenyataan.

Agrobank turut berhasrat untuk mengembangkan inisiatif ini dengan pembabitan lebih banyak pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, komuniti masjid dan pelanggan Agrobank sedia ada sebagai rakan strategik selain meluaskan skop perniagaan.

Program Keusahawanan Asnaf Agrobank adalah bersifat menyeluruh dengan Technical Know-How dan Business Best Practices menerusi pengetahuan penggunaan teknik dan strategi perniagaan terkini.

Program Keusahawan Asnaf Agrobank ini inisiatif kali kedua oleh Agrobank dalam usaha pengagihan zakat kepada golongan asnaf.

Langkah inovatif ini turut membabitkan beberapa pihak lain, di bawah program strategik dan berstruktur Agrobank iaitu Program Keusahawanan Asnaf Agrobank.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 8:08 AM