MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) bersama Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kanan) dan  Syed Alwi  (kiri) menyampaikan anugerah kepada Penerima Anugerah Agropreneur Agrobank 2018.
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) bersama Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kanan) dan Syed Alwi (kiri) menyampaikan anugerah kepada Penerima Anugerah Agropreneur Agrobank 2018.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Agrobank berada di landasan tepat untuk membantu usahawan yang menceburi sektor pertanian menerusi Program Pembangunan Usahawannya (ADP).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, program ADP diperkenalkan pada 2013 iaitu inisiatif Agrobank untuk membantu usahawan dalam mendalami aspek pengurusan perniagaan, kewangan dan teknikal.

Katanya, sehingga kini Agrobank menganjurkan hampir 400 sesi latihan meliputi 14,412 usahawan tani di seluruh Malaysia membabitkan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani.

“Selain memberi latihan, usahawan yang terbabit di bawah ADP ini juga berpeluang menerima pembiayaan mikro Agrobank.

“Agrobank menawarkan pembiayaan minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi pembiayaan mikro, manakala pembiayaan korporat boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.

“Ini termasuk pembiayaan modal pusingan untuk pembelian tanah pertanian, mesin dan jentera serta perdagangan kewangan yang berasaskan pertanian,” katanya, di sini.

Beliau berkata, Agrobank menyediakan pembiayaan menyeluruh untuk petani, penternak, nelayan, usahawan agro makanan, merangkumi hasil pembiayaan rantaian penuh seperti pembekalan hasil pertanian hingga ke pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna.

Syed Alwi berkata, di bawah portfolio pembiayaan mikro Agrobank, lebih 30,000 usahawan tani mendapat manfaat.

Menurutnya, Agrobank akan terus memberi fokus membantu usahawan kecil dan sederhana serta mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk menerima pembiayaan.

“Kami percaya bahawa usahawan yang berjaya, dapat memacu pertumbuhan serta memberi inspirasi bagi perubahan yang positif bukan saja kepada diri mereka sendiri bahkan kepada semua komuniti secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 4:00 PM