HONDA HR-V Serba Baharu kini dibuka untuk tempahan.
HONDA HR-V Serba Baharu kini dibuka untuk tempahan.

HONDA Malaysia bakal melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V Serba Baharu dengan konsep Amp Up Your Life dan kini ia dibuka untuk tempahan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata, sejak model HR-V diperkenalkan pada 2015, ia terus memacu jualan yang baik dan menjadi penanda aras dalam segmennya.

"Terjual lebih 111,000 unit ia adalah pendahulu untuk pasaran SUV dalam segmen-B bukan nasional dan model pembaharuan yang diperkenalkan pada 2019 terjual lebih 39,000 unit.

"Ia sentiasa mendapat sambutan yang baik kerana ciri unik dan praktikal semakin digemari oleh kebanyakan pemandu di Malaysia," katanya.

Model HR-V Serba Baharu ini 39 milimeter (mm) lebih panjang dan rendah 15mm daripada generasi terdahulu serta rekaan luaran yang tampil lebih elegan gaya fastback.

Lampu utama dan gril ciri baharu serta untuk varian RS termasuk dengan lampu membelok Sequential dan lampu belakang melintang yang menyerlahkan model terbaharu ini.

Buat pertama kalinya juga HR-V didatangkan dengan enjin teknologi e:HEV yang dijana dengan Pemanduan Multi-Mode Pintar (i-MMD) bagi prestasi enjin lebih responsif untuk SUV kompak ini.

Ia adalah gabungan enjin 1.5L Atkinson i-VTEC dengan Unit Kawalan Kuasa (PCU) dan dua motor elektrik CVT.

Honda HR-V Serba Baharu ini dengan janaan kuasa 131PS pada 4,000 hingga 8,000rpm dan tork 253Nm pada 3,500rpm dengan tiga mod pemanduan iaitu ECON, Normal dan Sport.

Pelbagai ciri lain dengan ciri keselamatan utama dan Honda Sensing menjadi antara yang termaju dalam kemudahan dan keselamatan keseluruhan penumpang.

Honda HR-V Serba Baharu bakal dilancarkan pada suku ketiga 2022 dengan penawaran enjin hibrid dan petrol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 7:00 AM