HR-V gaya SUV kompak terkini.
HR-V gaya SUV kompak terkini.
Lizam Ridzuan


KOMPAK, namun ruangnya selesa dan praktikal.

Itu kelebihan utama kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V Serba Baharu yang sudah pun berada di pasaran tempatan sejak Julai tahun lalu.

Permintaan untuk model ini juga amat memberangsangkan dengan ramai yang mahu memilikinya.

Vroom berpeluang memandu uji Honda HR-V 1.5L T V baru-baru ini.

Pada pandangan penulis, Honda HR-V ini tampil dengan rekaan yang elegan malah ia sesuai buat golongan sasarnya iaitu golongan muda, berkerjaya dan mempunyai ahli keluarga kecil.

Ia hadir dengan konsep 'fastback' seterusnya menjadikan ia tampil lebih sporty.

Ditambah dengan gril hadapan yang luas dan lebar, ia menjadikan ciri 'futuristik' SUV ini semakin ketara.

Lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) juga lebih nipis seterusnya menambah gaya elegan SUV ini.

Di bahagian bampar bawah, tertera kemasan 'Amp Up Your Life'. Ia menambah 'kecomelan' model ini.

Seterusnya, rim aloi bersaiz 18 inci juga menjadikan HR-V ini 'garang'.

Bahagian belakang model ini kekal elegan seperti menerusi lampu yang merentasi pintu kargo.

Menjengah ke ruang kabin, rekaan papan pemukanya cukup elegan ditambah dengan roda stereng balutan kulit bersama butang fungsi, meter TFT bersaiz 7 inci, sistem infotainmen bersaiz 8 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dan buat julung kalinya buat model Honda, diperkenalkan Sistem Penyuraian Udara Baharu.

Kerusi pula selesa untuk perjalanan jauh atau dekat. Di bahagian belakang, walaupun berkonsepkan 'fastback' namun ia masih mempunyai ruang kepala dan kaki yang baik untuk penumpang.

Meskipun kompak, kerusi belakang boleh dilipat bagi tujuan membawa pelbagai keperluan muatan dengan ciri kerusi utiliti-pelbagai menerusi mod utiliti, panjang dan tinggi.

PADANAN rim aloi 18 inci.
PADANAN rim aloi 18 inci.

Bahagian kargonya juga luas. Ia turut menyediakan tayar simpanan bersaiz 18 inci.

Untuk varian V, ia didatangkan dengan enjin 1,498cc empat silinder, DOHC VTEC pengecas turbo, ia mampu menjana kuasa 181 PS pada 6,000 rpm dan tork 240Nm pada 1, 700 hingga 4,500rpm.

Sudah pasti enjin ini lebih responsif menerusi trenkuasa yang ditawarkan.

Tiga mod kuasa ditawarkan iaitu Normal, Sport dan Econ bagi disesuaikan dengan pemanduan.

 KEMASAN kabin elegan dan selesa.
KEMASAN kabin elegan dan selesa.

Ia juga tambah stabil dengan sistem suspensi MacPherson Strut di bahagian depan dan Torsion Beam di bahagian belakang.

CIRI praktikal dengan ruang luas.
CIRI praktikal dengan ruang luas.

Model ini juga sesuai bagi kegunaan di bandar. Dengan saiz kompak dan darjah membelok yang kecil iaitu 5.5 meter, ia memudahkan pergerakan terutama ketika di kawasan parkir yang sempit.

Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi enam beg keselamatan dan ciri Honda Sensing menawarkan keyakinan dalam pemanduan.

Ia turut dilengkapi antaranya Sistem Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS) dan Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS).

ENJIN 1.5 liter dengan turbo.
ENJIN 1.5 liter dengan turbo.

Cuma dua varian teratas ini dilengkapi dengan Kamera LaneWatch (LWC) Honda untuk melihat sisi kiri dengan lebih jelas bagi melengkapi ciri-ciri yang perlu ada sebagai ciri standard kenderaan baharu dalam pasaran.

Secara keseluruhannya, Honda HR-V 1.5L T V menawarkan kenderaan dengan ciri enjin turbo buat yang gemarkan ciri prestasi.

Saiznya ideal untuk kegunaan urban malah untuk perjalanan jauh.

Menerusi tangki bahan api 40 liter, penulis mencatatkan penggunaan sekitar 8.2 liter untuk setiap 100 kilometer (km) dengan catatan jarak perjalanan sehingga 450km.

Namun, ia bergantung kepada corak pemanduan, bebanan dan permukaan jalan.

Untuk pasaran Malaysia, empat varian ditawarkan dan untuk model pandu uji ini dijual pada harga RM134,800 (1.5L T V).

Varian lain dijual pada harga RM114,800 (1.5L S), RM129,800 (1.5L T E) dan RM140,800 (1.5L e:HEV RS).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 6:11 AM