Lizam Ridzuan

(Yang menyertai sesi pandu uji Honda HR-V di Phuket, Thailand baru-baru ini)

SEJAK diperkenalkan pada 2015, Honda HR-V menjadi pilihan kerana ia menampilkan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B yang tampil bergaya bersama ciri praktikal.

Ia mencatatkan jualan lebih 111,000 unit di negara ini dan menjadi pendahulu jualan bagi jenama bukan nasional untuk segmennya.

Selepas beberapa pembaharuan diberi, kini diperkenalkan Honda HR-V Serba Baharu ke pasaran tempatan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Namun sebelum itu, Vroom dibawa terbang oleh Honda Malaysia ke Phuket, Thailand baru-baru ini untuk 'Teaser Drive' bagi menguji model daripada varian RS e:HEV.

Sebaik melihat model ini yang dipamerkan di hotel penginapan wakil media di Phuket, ia terus menambat hati penulis.

Rekaan yang ditampilkan kali ini adalah berbeza dengan generasi pertama dengan konsep 'Amp Up Your Life'.

Ia menawarkan ciri lebih elegan merangkumi tiga aspek iaitu Keseronokan, Keyakinan dan Estetika.

ENJIN 1.5L dengan e:HEV.
ENJIN 1.5L dengan e:HEV.

Pada bahagian hadapan, ia dilengkapi rekaan corak gril baharu yang lebih luas dan lebar dengan lampu utama LED selain lampu nyalaan siang berbentuk lebih nipis.

Ia juga tampil dengan lampu membelok LED Sequential dan pada bahagian belakang, ia dilengkapi lampu Tailight Strip yang menyerlahkan rekaan kenderaan ini.

Pada bahagian belakang, ia tampil dengan gaya 'coupe'

seperti generasi pertama, namun dalam bentuk yang lebih segar.

PERBEZAAN belakang.
PERBEZAAN belakang.

Untuk varian RS, ia didatangkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci. Secara keseluruhan, dimensi model ini 39 milimeter (mm) lebih panjang selain 15mm lebih rendah berbanding model sebelumnya.

Menjengah ke kabin, untuk spesifikasi pasaran Thailand, ia dilengkapi bumbung panorama, namun pelapik pelindung cahayanya pada bahagian hadapan dan belakang perlu dibuka secara manual.

Untuk papan pemuka, ia tampil lebih kemas dan didatangkan dengan corong penyaman udara rekaan baharu, sistem infotainmen lebih besar serta penglihatan lebih luas terutama di ruang antara cermin sisi dan pintu kenderaan.

Model HR-V Serba Baharu ini juga menawarkan sistem Penyebaran Udara Baharu untuk aliran capaian angin lebih jauh, ia juga yang pertama untuk model Honda.

Untuk penumpang belakang, turut dilengkapi kemudahan corong penyaman udara di belakang perehat lengan penumpang hadapan.

Menambah keselesaan, ia juga datang antaranya dengan penyaman udara dua zon, sistem multimedia bersaiz lapan inci termaju, pengecas telefon tanpa wayar, lapan pembesar suara dan pedal gear tangan.

GAYA elegan.
GAYA elegan.

Kerusi pemandu dengan larasan elektrik dan untuk penumpang juga selesa dengan konsep 'Magic Seats' yang lebih praktikal untuk keperluan membawa lebih barangan.

Buat pertama kalinya juga, HR-V didatangkan dengan enjin teknologi e:HEV yang dijana dengan Pemanduan Multi-Mode Pintar (i-MMD) bagi prestasi enjin lebih responsif.

Enjin ini juga terdapat pada model Honda City dan Hatchback varian RS, namun ditala kuasanya lebih tinggi.

Ia adalah gabungan enjin 1.5L Atkinson i-VTEC dengan Unit Kawalan Kuasa (PCU) dan dua motor elektrik CVT.

Honda HR-V Serba Baharu ini datang dengan janaan kuasa 131PS pada 4,000 hingga 8,000rpm dan tork 253Nm pada 3,500rpm dengan tiga mod pemanduan iaitu ECON, Normal dan Sport.

Penulis bertukar-tukar giliran pemanduan bersama rakan media Hazeri Samsuri, memandu dari Phuket ke Krabi merentasi jarak lebih 200 kilometer (km).

Seterusnya pada hari kedua, kami memandu dari Krabi kembali ke Phuket. Ia memberikan kami lebih banyak masa merasai pengalaman bersama Honda HR-V Serba Baharu ini.

 GRIL besar dan rekaan lampu menipis.
GRIL besar dan rekaan lampu menipis.

Kami melalui lebuh raya, jalan raya biasa serta jalan selekoh, jalan kecil dan berbukit, namun hantaran enjin ini sentiasa baik. Ia cukup berkesan dalam menyusun atur antara tenaga enjin dan motor elektrik.

Kelebihan enjin ini juga, selain ciri prestasi, ia juga menawarkan penggunaan bahan api lebih efisien.

Ketika memandu, aspek Kebisingan, Gegaran dan Kekasaran (NVH) juga lebih baik dengan kabin lebih senyap.

Selain prestasi, sistem keselamatan terbaik juga ditawarkan dengan Honda Sensing. Ia adalah pakej lengkap Teknologi Keselamatan Termaju Generasi Hadapan Honda.

Ia meliputi Notifikasi Kenderaan Hadapan Bergerak (LCDN), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Low Speed Follow (LSF), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Sisten Bantuan Kekal Laluan (LKAS), Mitigasi Keluar Jalan Raya (RDM) dan Amaran Keluar Laluan (LDW).

Secara keseluruhan, Honda HR-V Serba Baharu ini menawarkan ciri rekaan gaya masa hadapan dengan teknologi enjin e:HEV sebagai yang termaju.

Saiznya yang kompak sesuai buat keperluan pergerakan urban. Malah, untuk membawa barangan keperluan, ia juga boleh dilakukan melalui ruang dalaman yang praktikal.

Kemasan yang tidak berlebihan, elegan dan ruang dalaman warna gelap sesuai buat golongan sasarnya.

Pintu kargo kuasa elektrik juga menambah kemudahan selain boleh dilaras untuk ketinggian bukaannya.

Pintu ini juga memiliki fungsi 'Walk Away Close' yang mana ia akan terkunci sebaik individu dengan kunci bergerak jauh dari kenderaan.

Pada masa sama, ia juga dilengkapi penghidup enjin kawalan jauh dan Honda Lane Watch.

Pengalaman memandu di Thailand juga suatu yang baharu buat penulis, meskipun tidak banyak perbezaan dengan faktor geografi di Malaysia, namun jalan rayanya diurus dengan baik selain tiada pemandu yang memandu melulu.

Honda Malaysia kini membuka pratempahan untuk model Honda HR-V Serba Baharu yang bakal dilancarkan di negara ini pada suku ketiga 2022 dengan enjin petrol dan hibrid.

Tiada pengumuman harga, jumlah varian dan spesifikasi akhir untuk pasaran tempatan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 6:35 AM