Antara aset di bawah AHB.
Antara aset di bawah AHB.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022.

Ini terdiri daripada agihan pendapatan asas sebanyak 2.15 sen seunit dan agihan bonus 0.35 sen seunit.

Pengagihan bonus disumbangkan oleh PHB, sebagai penaja AHB, dan diagihkan untuk 500,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata agihan 2.50 sen seunit adalah lebih tinggi sedikit berbanding agihan interim enam bulan tahun sebelumnya iaitu sebanyak 2.35 sen seunit, yang mencerminkan trend positif.

"AHB mengagihkan pendapatan dua kali setahun dan pengagihan pendapatan terakhir, jika ada, akan diagihkan pada Oktober 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

PHB turut merancang untuk menambah satu bilion unit AHB baharu pada 2022, tambahnya.

Sejak 2011, AHB telah membayar pendapatan dividen kira-kira RM1.7 bilion kepada para pelaburnya.

Harga AHB ditetapkan pada RM1 seunit, dengan ciri-ciri menarik seperti pengeluaran segera, patuh Syariah, dan pengagihan pendapatan sebanyak dua kali setahun.

Pengagihan pendapatan tunai akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit manakala pengagihan pendapatan unit akan dikreditkan ke dalam akaun AHB pada 14 April 2022.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed berkata seperti yang diumumkan pada Oktober 2021, syarikat itu yang juga pengurus dana PHB kini bersedia untuk melaksanakan skim pelaburan semula yang mana pengagihan pendapatan akan dibuat dalam bentuk unit dan /atau tunai, terutamanya kepada pemegang unit runcit.

"Bagi pengagihan pendapatan interim ini, pemegang unit runcit yang mempunyai purata baki bulanan minimum 10,000 unit dan kurang, akan menerima agihan pendapatan secara tunai manakala mereka yang mempunyai lebih daripada 10,000 unit, akan menerima agihan pendapatan dalam bentuk unit AHB.

"Pemegang unit institusi akan terus menerima agihan pendapatan dalam bentuk wang tunai," katanya.

Ahmed Muzni turut menjelaskan bahawa pelabur boleh memilih untuk menukar agihan pendapatan mereka dalam unit AHB kepada tunai di cawangan bank kerana AHB membenarkan pengeluaran atau penebusan pada kadar segera.

PHB ialah cabang operasi tunggal Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah institusi amanah di bawah bidang kuasa kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 6:13 PM