MAHMUD Fauzi Muda.
MAHMUD Fauzi Muda.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.35 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2021.

Jumlah ini terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.15 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.20 sen seunit.

Jumlah bonus yang diberikan ini adalah sumbangan daripada PHB selaku penaja dana AHB dan bakal diagihkan untuk 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, keadaan pasaran semasa terus mencabar walaupun wabak Covid-19 berlangsung selama setahun.

"Pada tahun 2020, PHB melaksanakan program "Rent Relief Program" (RRP) bagi meringankan beban penyewa yang terjejas di bangunan-bangunan milik PHB.

"Kami juga menyediakan peruntukan tambahan bagi meneruskan program ini untuk tahun 2021. Bagaimanapun, disebabkan oleh sumber yang terhad, program bantuan ini hanya diberikan kepada penyewa yang paling teruk terjejas. Walaupun dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, PHB setakat ini dapat menggantikan sebahagian besar penyewa yang hilang dengan penyewa baharu," katanya.

Menurutnya, PHB kini sedang giat berusaha untuk memperoleh aset baharu terpilih, terutamanya di sektor perindustrian dan penjagaan kesihatan.

"Pembangunan hartanah PHB juga sedang berjalan lancar di mana hospital swasta baharu yang terletak di Kuala Lumpur bernilai RM340 juta sudah siap dibina pada September 2020.

"PHB juga sudah nmemeterai perjanjian bagi membangunkan sebuah gudang industri seluas 2.0 juta kaki per segi di Shah Alam dengan kos kira-kira RM0.5 bilion yang akan dipajak sepenuhnya kepada syarikat logistik antarabangsa.

"PHB juga sedang aktif mengadakan rundingan mengenai pembangunan hospital swasta baharu di sekitar Selangor dan Pantai Timur. Aset-aset hartanah baharu ini bakal menyokong penyuntikan unit baharu ke dalam dana AHB dalam masa yang terdekat," katanya.

Dalam pada itu, pada 15 Mac 2021, PHB dan MAM sudah menawarkan semula 160 juta unit AHB untuk dilanggan oleh Bumiputera.

Unit-unit yang ditawarkan semula ini adalah hasil unit terkumpul yang sudah ditebus oleh pemegang-pemegang unit selama setahun sejak Mac 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmad Najib Nazlan berkata, ia tidak memberi kesan kepada dana semasa AHB yang telah diluluskan.

"Penawaran semula 160 juta unit AHB ini telah meraih sambutan yang memberangsangkan. Oleh itu, kami ingin menasihatkan Bumiputera yang berminat untuk melanggan supaya mengunjungi cawangan pengedar kami di Maybank, Ambank atau Ambank Islamic sebelum unit-unit ini dilanggan sepenuhnya," katanya.

Pengagihan pendapatan interim AHB ini adalah dikecualikan dari cukai dan sudah dizakatkan serta akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang-pemegang unit pada 15 April 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 11:51 AM