PENGERUSI MDV, Khairul Azwan Harun.
PENGERUSI MDV, Khairul Azwan Harun.

MALAYSIA Debt Ventures Berhad (MDV) komited dalam usahanya untuk membantu perkembangan syarikat pemula teknologi yang berpusat di Johor dengan menawarkan peluang pembiayaan fleksibel dengan kadar pembiayaan berpatutan, dalam menyokong pencapaian objektif kerajaan untuk membangunkan syarikat pemula teknologi tempatan sehingga dapat membantu syarikat-syarikat itu mencapai status 'unicorn.'

Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun berkata, bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan baru-baru ini dijangka dapat memberi impak besar dalam mencapai kestabilan perniagaan dan ekonomi di negeri Johor yang mampu memberikan kelebihan kepada Johor sebagai hab permulaan teknologi global dan destinasi pelaburan teknologi terkemuka di Malaysia, sekaligus meningkatkan potensi aliran masuk syarikat pemula ke Johor dan Malaysia.

"Johor adalah antara gerbang utama bagi pembangunan di Malaysia dan ia mempunyai ekosistem yang kondusif untuk menarik pelaburan teknologi baharu.

"Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) contohnya mempunyai potensi besar untuk menjadikan Johor sebagai peneraju dalam industri dron dan robotik di rantau ini.

"Selain itu, lokasi Johor yang strategik juga memberikan syarikat pemula teknologi di negeri itu akses yang mudah kepada peluang pasaran di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti di Singapura dan Indonesia yang dapat meningkatkan peluang untuk melebarkan sayap mereka ke pasaran serantau dan seterusnya ke pasaran global," katanya.

Bagaimanapun, katanya untuk memastikan syarikat-syarikat pemula teknologi ini dapat terus berkembang serta mencapai potensi mereka untuk berjaya, ia memerlukan bantuan dan intervensi dalam bentuk dasar kerajaan negeri dan persekutuan yang mesra pelaburan dan stabil, infrastruktur ICT yang bertaraf dunia, bekalan tenaga mahir yang mencukupi, akses yang lebih luas kepada pembiayaan, serta bimbingan dan strategi pemasaran yang berkesan.

"Sehubungan itu, menyediakan akses pembiayaan yang lebih baik untuk syarikat pemula teknologi termasuklah bagi syarikat yang berpusat di Johor, adalah peranan yang dapat dipenuhi oleh MDV dengan berkesan kerana kami mempunyai pengalaman serta kepakaran yang luas untuk memahami serta menyesuaikan tawaran pembiayaan berdasarkan keperluan syarikat pemula teknologi ini," katanya.

Setakat ini, MDV telah meluluskan lebih daripada RM75 juta pembiayaan untuk 65 syarikat dan telah menyalurkan kira-kira RM41.52 juta kepada 39 syarikat dalam pelbagai sektor teknologi di bawah program Liquidity Financing for Technology Start-Ups (LIFTS) MDV iaitu program khas yang bernilai RM100 juta untuk syarikat berasaskan teknologi dan syarikat permula teknologi yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Selain itu, MDV juga menawarkan program Technology Acceleration and Commercialisation Scheme (MDV-TACT) iaitu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan MDV-TACT 2.0 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang bertujuan untuk menyediakan akses pembiayaan bagi aktiviti pengkomersialan dan peningkatan pertumbuhan bagi syarikat pemula teknologi yang baru dengan produk yang inovatif dan bersifat disruptif.

Setakat ini, MDV telah meluluskan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM77.5 juta kepada 26 syarikat pemula teknologi di bawah program MDV-TACT dan MDV-TACT 2.0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:10 AM