Khairul Azwan (kiri) beramah mesra dengan tetamu pada  majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MDV 2022 di KLCC Convention Centre. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Khairul Azwan (kiri) beramah mesra dengan tetamu pada  majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MDV 2022 di KLCC Convention Centre. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Kuala Lumpur: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) merancang untuk mengembangkan produk Venture Financenya di peringkat global sekali gus menawarkan pembiayaan alternatif bagi syarikat berasaskan teknologi bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh rantau ini.

Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya menjangkakan untuk bekerjasama dengan syarikat modal teroka atau firma kewangan yang berminat dari Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah.

Katanya, walaupun di negara maju, konsep 'debt venture' yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2016 ini adalah perkara baru dan negara berkenaan juga menunjukkan minat untuk mempelajari serta berkongsi kepakaran daripada MDV.

"Kami di pihak MDV baru-baru ini sudah melakukan lawatan kerja ke Bosnia dan Turki, di mana kami telah berjumpa dan bermesyuarat dengan beberapa syarikat Venture Capital dan bank di sana.

"Saya kira inisiatif kami ini telah memberikan hasil yang memuaskan kerana mereka menerima produk Venture Finance MDV dan kami berhasrat untuk memanfaatkan rangkaian yang telah ditubuhkan pada masa hadapan.

"Sebenarnya kita sedang berbincang dengan beberapa pembiaya firma modal teroka dari negara Pertubuhan Negara Islam (OIC) seperti Turki, Indonesia dan bahkan MDV akan ke Mesir untuk menghadiri mesyuarat Agung Tahunan Bank Pembangunan Islam (IDB).

"Kita menjangkakan di peringkat IDB sendiri ada beberapa dana yang boleh dicadangkan dan diuruskan dengan jumlah melebihi AS$100 juta (sekitar RM500 juta) untuk Venture Finance di mana ia bukan semata-mata untuk Malaysia, bahkan pembiayaan itu nanti boleh diakses syarikat pemula dari seluruh rantau Asia Tenggara dan negara OIC," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MDV 2022 di sini, semalam.

Khairul Azwan berkata, pihaknya akan meneruskan inisiatif yang sama dalam usaha memperkenalkan produk Venture Finance MDV di peringkat global menerusi penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk Venture Finance.

Katanya, pusat itu bertujuan menyokong pembangunan syarikat baharu teknologi dan memudahkan syarikat berhubung dengan pihak berkepentingan yang berkaitan seperti usahawan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, akademi penyelidikan, khidmat nasihat dan rakan kongsi pembiayaan dalam rangkaian tempatan dan serantau.

"Memandangkan permintaan untuk pembiayaan teroka di Asia Tenggara dilaporkan meningkat secara berterusan dalam tempoh 12 bulan yang lalu di mana kira-kira AS$1 bilion telah digunakan pada 2021, adalah tepat pada masanya untuk Malaysia memanfaatkan Venture Finance bagi memastikan pertumbuhan yang lebih kukuh untuk syarikat permulaan teknologi dan ekonomi secara keseluruhan.

"Bagi MDV sendiri, sejak program ini diperkenalkan pada 2018, saiz dana yang diuruskan MDV di bawah program ini mencecah hampir RM120 juta dan kami mempunyai lebih daripada 50 syarikat pemula teknologi di bawah portfolio Venture Finance kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 12:28 PM