JOHARI (tengah) bersama Md Zubir (kanan) melancarkan dana MDV, semalam.
JOHARI (tengah) bersama Md Zubir (kanan) melancarkan dana MDV, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyasarkan membiayai operasi lebih 300 syarikat dalam 20 tahun akan datang melalui pengeluaran berpotensi RM4 bilion yang dikumpul daripada dana ketiganya bernilai RM1 bilion yang baru dilancarkan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Md Zubir Ansori Yahaya berkata, dana itu yang akan dikumpulkan melalui Nota Jangka Sederhana Islam (iMTN) dijangka membiayai antara 400 dan 500 projek kebanyakannya dalam Industri 4.0.

“Buat masa ini, kami menumpukan (pengeluaran pembiayaan) kepada teknologi baru iaitu kepintaran buatan, realiti maya, realiti berperantara dan percetakan 4D.

“Kami berusaha membiayai syarikat permulaan yang mempunyai idea dan rancangan perniagaan yang baik,” katanya selepas pelancaran dana itu oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi dana ketiga MDV mengenal pasti 15 syarikat yang mempunyai projek bernilai RM100 juta, terdiri daripada percetakan 3D, robotik dan e-dagang yang akan menerima pembayaran dalam tempoh enam bulan akan datang.

Johari berkata, dana baru itu menunjukkan sokongan dan keyakinan berterusan kerajaan terhadap pendekatan MDV dalam menguruskan kedua-dua dana iaitu RM1.6 bilion sumber dari Japanese Bank of International Cooperation pada 2002 dan terbitan​​​​​​​ iMTN bernilai RM1.5 bilion pada 2008.

“Memandangkan projek berasaskan teknologi dianggap berisiko tinggi maka mod pembiayaan lama sukar diperoleh. Bagaimanapun, kerajaan yakin projek itu mempunyai masa depan cerah dan membawa potensi besar menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:50 AM