Wakil SMK Iskandar Shah, Jasin menerima hadiah yang dimenangi.
Wakil SMK Iskandar Shah, Jasin menerima hadiah yang dimenangi.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Melaka muncul sebagai juara pertandingan 'DIY Made Simple 2021' kelima, anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Juara pertandingan peringkat kebangsaan ini diumumkan ketika majlis penutupan yang diadakan di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

'DIY Made Simple' adalah pertandingan tahunan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengajak pelajar sekolah menengah untuk mencari cara dan kaedah bagi membaik pulih kemudahan sekolah mereka dengan projek do-it-yourself (DIY) menggunakan bahan kitar semula.

Sekolah yang bergelar juara telah mengalahkan 105 sekolah lain dari 13 negeri pada pertandingan tahun ini yang bertemakan "Green School - Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom".

Pasukan yang terdiri daripada 10 pelajar itu membawa pulang Hadiah Emas berupa wang tunai bernilai RM4,500 untuk projek 'Mobile Recycle Bin' mereka.

Kolej Profesional Dungun, Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra, Melaka seri di tempat kedua dan memenangi Hadiah Perak berupa wang tunai bernilai RM3,000 untuk setiap kumpulan.

Selain hadiah wang tunai, piala dan sijil, lima finalis yang menyertai Peringkat Tiga ini turut memenangi baucar MR DIY sebanyak RM500, manakala ketiga-tiga pemenang turut memenangi baucar MR DIY sebanyak RM1,500.

Pertandingan 'DIY Made Simple' tahun ini dilancarkan pada Januari 2021 dalam empat peringkat.

Sebanyak 105 pasukan telah mendaftar dan menghantar video mereka ketika peringkat pertama yang kemudiannya dinilai sekumpulan juri yang terdiri daripada wakil dari Universiti Malaya (UM), MR DIY, dan KPM dan menyenarai pendek 28 pasukan untuk pembentangan kertas kerja dalam Peringkat Dua.

Lapan finalis kemudian dipilih untuk Peringkat Tiga di mana pasukan bekerjasama dengan pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM untuk menukar idea mereka menjadi realiti.

Sementara itu, bercakap ketika upacara penyampaian hadiah yang diadakan di UM, Pengerusi MR DIY Group, Datuk Azlam Shah Alias berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian dan kerjasama bersama UM yang berjaya sepanjang lima tahun ini, dan ini adalah pengalaman yang amat mengagumkan.

"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pertandingan ini dan pencapaiannya menyemai kesedaran amalan hijau termasuk budaya kerja DIY dalam kalangan generasi muda, selaras dengan matlamat kelestarian MR DIY, di bawah teras alam sekitar.

"Terima kasih kami ucapkan kepada UM kerana menganjurkan pertandingan ini dan KPM atas sokongan yang diberikan.

"Secara keseluruhannya, semua ini adalah untuk mendidik generasi muda kita bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk Malaysia yang lebih baik, dan kami berharap untuk terus melakukannya pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan.

Projek tong kitar semula mudah alih yang berjaya memenangi Hadiah Emas.
Projek tong kitar semula mudah alih yang berjaya memenangi Hadiah Emas.

Menurutnya, 'DIY Made Simple' bukan sekadar satu pertandingan, sebaliknya menjadi medan pelajar mencabar kreativiti dan kemahiran berfikir secara kritis untuk menginovasi ciptaan yang lestari dan luar jangkaan.

"Ia juga menggalakkan perkembangan kemahiran insani seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan kepimpinan.

"Sepanjang pertandingan, saya gembira melihat pelajar dapat meningkatkan perkembangan peribadi mereka disamping memperbaiki kemahiran insani.

"Selaras dengan budaya DIY, kami berharap pelajar dapat menyumbang kemahiran mereka untuk kebaikan masyarakat bermula dengan membantu membaik pulih kemudahan sekolah mereka, dan sentiasa memelihara persekitaran yang kita diami.

"Apabila dewasa, kami berharap akan dapat melihat mereka menjadi individu yang mempunyai semangat kemasyarakatan yang kuat, dan bersedia membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 3:22 PM