PEMENANG Pertandingan tahunan DIY Made Simple edisi tahun lalu.
PEMENANG Pertandingan tahunan DIY Made Simple edisi tahun lalu.

Kuala Lumpur: Pertandingan tahunan DIY Made Simple kembali lagi tahun ini untuk semua pelajar dan guru sekolah menengah.

Edisi tahun ini yang masuk kali kelapan penganjurannya mengalu-alukan penyertaan dari sekolah menengah di seluruh Malaysia untuk mengambil bahagian dengan tema Wonder Waste Creations: Paper & Plastic Edition.

Tema ini memerlukan pelajar mencari jalan untuk menambah baik kemudahan sekolah mereka dengan menggabungkan kaedah untuk mengguna semula, mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula bahan buangan, khususnya kertas dan plastik.

MR DIY dalam kenyataan berkata, memandangkan pengurusan sampah atau sisa pepejal adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh negara kita, pertandingan ini secara tidak langsung memperkukuhkan sokongan kepada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus menjelang 2025.

"Sekolah yang berminat mempunyai masa sehingga 9 Mei 2024 untuk menghantar penyertaan mereka.

"Panel hakim yang terdiri daripada wakil dari Universiti Malaya (UM), MR DIY, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menilai penyertaan mereka dan menyenarai pendek 16 sekolah.

"Sekolah yang disenarai pendek akan mengusahakan projek mereka bersama pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM untuk mengubah idea mereka menjadi realiti antara 5 Jun hingga 31 Julai 2024.

"Fasa penilaian akan berlangsung pada Ogos 2024 di mana pelajar sekolah akan membentangkan projek yang telah dimuktamadkan kepada hakim, dan pemenang akan diumumkan dalam peringkat akhir pada bulan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 8:11 AM