AZLAM Shah
AZLAM Shah

Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) melancarkan edisi keenam pertandingan tahunan terkenalnya iaitu DIY Made Simple.

Pertandingan yang disokong Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan menggalakkan pelajar memahami dan menghargai impak positif budaya 'buat sendiri' (DIY).

Pertandingan ini menyediakan platform kepada pelajar menonjolkan kreativiti mereka dengan meneroka pelbagai tema DIY yang berbeza.

Tema tahun ini, Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah menyeru pelajar mencari jalan mempertingkatkan kemudahan di sekolah mereka sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan memulakan projek DIY menggunakan bahan kitar semula.

Pengerusi Kumpulan MR DIY, Datuk Azlam Shah Alias berkata, DIY Made Simple bukan sekadar pertandingan sebaliknya menggalakkan perkongsian idea mengenai cara mempraktikkan lebih banyak amalan mesra alam, menggalakkan budaya menaik taraf dan mengguna semula, dan seterusnya melahirkan komuniti mampan, diperkasa, dan bersedia menghadapi masa hadapan.

"Ia antara cara MR DIY menambah nilai kepada komuniti di mana kami beroperasi, dan ia selari matlamat kemampanan kami.

"Terima kasih kepada UMCares kerana sekali lagi bekerjasama dengan kami, dan kepada KPM kerana menyokong program ini. Sokongan mereka membolehkan kami meningkatkan kemahiran 865 pelajar dari seluruh negara sejak pertandingan ini dilancarkan pada 2017, dan ia semakin besar dan menarik dari tahun ke tahun.

"Memandangkan Malaysia kini memasuki fasa peralihan endemik dan sekolah dibuka semula, kami teruja menyaksikan idea kreatif dan unik untuk mengubah sisa buangan menjadi sesuatu yang berguna dan mampan untuk dimanfaatkan oleh sekolah," katanya dalam satu kenyataan.

Pelajar yang berminat mengambil bahagian boleh menghantar penyertaan video mereka sehingga 20 Mei 2022.

Satu panel pengadil yang terdiri daripada wakil dari Universiti Malaya (UM), MR DIY, dan KPM menilai semua penyertaan dan menyenarai pendek 98 pasukan (tujuh sekolah dari setiap negeri) untuk pembentangan cadangan dan prototaip dari 31 Mei hingga 21 Julai 2022.

Seramai 18 finalis dipilih bekerjasama dengan pensyarah dari Fakulti Bina Alam UM untuk mentransformasi idea sekolah mereka menjadi realiti semasa pusingan Akhir.

Fasa terakhir itu dijalankan dari 22 Julai hingga 25 September 2022, dan pemenang akan diumumkan pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 7:00 AM