Digi
Digi

Kuala Lumpur: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) bersama rakan program Future Skills for All (FS4A) iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Unicef dan ARUS Academy (ARUS) mempelawa pelajar Malaysia menyertai Pertandingan Pengaturcaraan #BolehCode.

Pertandingan ini yang juga sebahagian daripada inisiatif #BolehCode bertujuan memupuk minat generasi muda khususnya terhadap kemahiran digital.

Pertandingan berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori pelajar tahun 3 hingga 6 bagi cabaran Micro:bit Makecode, dan kategori pelajar tingkatan 1 hingga 4 bagi cabaran HTML, Python dan SQL.

Peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai hingga RM20,000.

Pertandingan akan bermula dengan pusingan peringkat negeri dari 13 hingga 17 September 2021 dan kemuncaknya adalah cabaran peringkat kebangsaan dari 4 hingga 15 Oktober 2021.

Digi bersama rakan program FS4A, juga melancarkan Kempen Duduk Rumah iaitu siri bengkel dalam talian dan sesi temu bual bersama profesional industri untuk membimbing pelajar menyertai pertandingan ini.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, inisiatif #BolehCode bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kemahiran digital dan menggalakkan pengetahuan pengaturcaraan sebagai kemahiran asas.

"Antara aktiviti yang dirancang termasuk pembelajaran ringkas pengaturcaraan di TikTok @gurufutureskills, program cuti sekolah, bengkel untuk guru, program pensijilan dan pertandingan pengaturcaraan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 8:40 AM