Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Beberapa syarikat yang berkemungkinan akan dikenakan Cukai Makmur memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan pembayaran dividen kepada pemegang saham, malah sedia memberikan sokongan kepada pelaksanaan cukai sekali sahaja itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tidak semua syarikat akan terkesan dengan pelaksanaan cukai itu dengan jangkaan tidak lebih 250 syarikat bakal dikenakan cukai korporat tambahan itu.

"Sebagai contoh, TM (Telekom Malaysia Bhd), TNB (Tenaga Nasional Bhd) dan Axiata menyatakan sokongan terhadap usaha ini (Cukai Makmur). Top Glove turut menyatakan mereka gembira untuk menyumbang kepada Cukai Makmur," katanya.

Beliau berkata demikian pada Invest Malaysia 2021 Siri 2 yang dianjurkan Bursa Malaysia dengan kerjasama CIMBCGS secara maya, semalam.

Pada sesi berkenaan, Tengku Zafrul sekali lagi memberi jaminan bahawa Cukai Makmur yang dicadangkan kerajaan untuk dilaksanakan tahun depan itu hanya akan dikenakan secara sekali sahaja memandangkan negara sedang menghadapi keadaan luar biasa.

Beliau berkata, hasil kutipan Cukai Makmur akan digunakan untuk memantapkan lagi sistem kesihatan di negara ini supaya kekal utuh dalam mendepani sebarang cabaran mendatang.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran defisit 6.5 peratus tahun ini dengan jangkaan pemulihan ekonomi yang kukuh pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, pembukaan semula ekonomi dan kejayaan pelaksanaan program vaksin akan menyokong pendapatan negara yang kukuh pada suku keempat.

Katanya, kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga dilihat mencatatkan peningkatan dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi.

"Ya, (kita berada dalam landasan untuk mencapai sasaran defisit 6.5 peratus bagi 2021), tetapi ia banyak bergantung kepada prestasi pendapatan negara dan prestasi akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita merasionalkan perbelanjaan pada 2021 untuk menampung peningkatan Dana Covid-19 kepada RM39 bilion, iaitu untuk membiayai bantuan tambahan dan pakej rangsangan.

"Jadi secara keseluruhannya, defisit keseluruhan untuk tahun ini dijangka RM98.8 bilion, meningkat daripada jumlah anggaran asal RM84.8 bilion," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menjangkakan prestasi KDNK negara pada suku ketiga 2021 akan lemah berikutan pelbagai langkah membendung penularan Covid-19 dilaksanakan dalam tempoh itu.

Namun, tegasnya, pemulihan kukuh akan dicatatkan pada suku keempat berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, terutama sektor perkhidmatan dan kejayaan program vaksinasi.

Beliau menambah, langkah yang dilaksanakan dalam Bajet 2022 akan menyokong negara untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan.

"Sasaran pertumbuhan itu juga sejajar dengan unjuran Bank Dunia iaitu 5.8 peratus dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak enam peratus," katanya sambil menambah insentif dan inisiatif yang dilaksanakan dalam Bajet 2022 akan terus menyokong kumpulan rentan serta perniagaan untuk terus pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:00 AM