PELAKSANAAN cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat pengeluar sarung tangan akan memberi isyarat salah kepada pelabur dan menjejaskan kemasukan pelaburan negara ini.
PELAKSANAAN cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat pengeluar sarung tangan akan memberi isyarat salah kepada pelabur dan menjejaskan kemasukan pelaburan negara ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat pengeluar sarung tangan yang mencatat keuntungan berikutan pandemik Covid-19 adalah dasar yang tidak konsisten yang akan memberi isyarat salah kepada pelabur dan ia akan menjejaskan kemasukan pelaburan negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sekiranya cukai itu dilaksanakan, ia akan membuat pelabur berfikir dua kali sebelum melabur di negara ini atau kemungkinan mereka memilih untuk melabur di negara jiran seperti Vietnam dan Singapura yang tidak mengenakan cukai keuntungan luar biasa.

"Kamu boleh mengenakan cukai seperti itu, tetapi anda mungkin memberi isyarat yang salah terutama untuk ekonomi terbuka seperti Malaysia," katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Belanjawan 2021 Kemenangan Rakyat yang disiarkan di Bernama TV.

Tengku Zafrul berkata, dasar harus dirangka untuk tempoh jangka panjang dan tidak berdasarkan kepada keuntungan jangka pendek sahaja.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mendesak kerajaan mengenakan cukai keuntungan luar biasa kepada pembuat sarung tangan kerana berpendapat ia mengaut keuntungan yang tinggi dalam persekitaran pandemik Covid-19.

Sementara itu, Tengku Zafrul meluahkan keyakinan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 akan berkembang antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus sama seperti unjuran kerajaan.

Katanya, jangkaan KDNK 2021 berdasarkan kepada pelbagai andaian seperti peningkatan permintaan ekonomi dan juga vaksin Covid-19 yang diharapkan akan tersedia pada suku pertama 2021, ia akan kesan limpahan positif ke atas Malaysia.

"Saya optimis KDNK untuk tahun 2021 akan berada dalam lingkungan 6.5 peratus hingga 7.5 peratus dan saya tidak sendirian. Ini bukan unjuran saya, tetapi unjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Dan jangkaan kami adalah seiring seperti dilakukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Asian Development Bank dan agensi penarafan lain yang memberi unjuran antara enam hingga lapan peratus," katanya.

Untuk mencapai sasaran pertumbuhan ditetapkan tahun depan, Tengku Zafrul berkata, perkara paling penting yang harus dilakukan adalah melaksanakan dasar dengan baik.

Mengenai unjuran KDNK untuk suku keempat 2020, Tengku Zafrul mengakui kesan buruk akan berlaku terutama kepada sektor runcit dan pelancongan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk Lembah Klang sejak pertengahan Oktober.

Beliau berkata, Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK negara.

"Tetapi ia tidak akan seburuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac, kesan hariannya menelan belanja sekitar RM2.0 bilion hingga RM2.4 bilion sementara ketika PKPB, kesan hariannya sekitar RM300 juta kerana aktiviti ekonomi, pembuatan dan eksport beroperasi seperti biasa," katanya.

Ekonomi negara merosot 17.1 peratus pada suku kedua akibat PKP, tetapi meningkat kepada -2.7 peratus pada suku ketiga 2020 ketika perniagaan dibuka semula secara berperingkat.

Ekonomi negara dijangka susut 4.5 peratus tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:36 AM