FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bisnes HM


KERAJAAN yakin dengan asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik serta langkah dasar yang berkesan akan membantu negara dalam menangani cabaran suasana pandemik Covid-19 secara strategik dan proaktif.

Ia seterusnya mengurangkan kesan negatif berkekalan ke atas ekonomi akibat pandemik ini bagi meletakkan negara dalam landasan kukuh untuk pemulihan ekonomi.

Seain itu, usaha pemulihan ekonomi juga akan didorong dengan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 yang akan dilaksanakan awal Mac nanti.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Moody's telah mengekalkan penarafan mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia pada A3 dengan unjuran stabil.

"Pengekalan penarafan adalah pengesahan terhadap kekukuhan kawalan disiplin fiskal negara serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang mampan, disokong dengan keberkesanan langkah membendung pandemik Covid-19.

"Ini juga mencerminkan keyakinan Moody's terhadap Malaysia dalam kitaran penilaian penarafan kredit

yang mencabar di peringkat global, di mana agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa telah melaksanakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak bermulanya pandemik itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pandemik Covid-19 sememangnya menjadi satu titik penentu pada tahun 2020, yang telah memberikan cabaran getir kepada kerajaan di seluruh dunia dalam menangani krisis kesihatan awam dan kemelesetan ekonomi secara serentak.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global menguncup 3.5 peratus pada tahun 2020, dan dianggarkan bakal mengalami kerugian sebanyak AS$22 trilion bagi tempoh 2020-2025.

"Sehingga kini, pakej rangsangan ekonomi global berjumlah sekitar AS$12 trilion telah dilaksanakan oleh pelbagai

kerajaan dan hutang awam global dijangka mencecah 100 peratus daripada KDNK pada tahun 2020.

"Kerajaan Malaysia sendiri telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif dengan nilai RM305 bilion atau sekitar 20 peratus daripada KDNK.

"Keempat-empat pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan sepanjang tahun 2020 dianggarkan dapat menyumbang sehingga empat mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK negara, serta menetapkan ekonomi negara pada landasan pemulihan, dengan sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan dasar juga dipantau dengan teliti, di mana laporan mingguan disiarkan oleh

Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan bagi memastikan aspek ketelusan dalam perbelanjaan awam.

"Komitmen Kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan langkah dasar ini juga ditunjukkan dengan penggubalan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion, iaitu belanjawan terbesar di dalam sejarah negara.

"Seterusnya, usaha ini juga dipertingkatkan dengan pelaksanaan Pakej Bantuan Permai bernilai RM15 bilion baru-baru ini yang telah memperkenalkan langkah baharu,

serta menambah baik inisiatif sedia ada menerusi pertambahan peruntukan, pelaksanaan yang dipercepatkan atau peluasan skop pelaksanaan.

"Pakej Permai juga bertujuan merapatkan jurang pelaksanaan antara pemberian bantuan segera kepada rakyat yang terkesan dengan bencana banjir dan pelaksanaan PKP, dengan pelaksanaan Belanjawan 2021," katanya.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, usaha pemulihan ekonomi negara akan terus dipacu oleh ekosistem

perkhidmatan kesihatan awam, yang telah diperkukuhkan menerusi Pakej Bantuan Permai.

Katanya, selain daripada usaha menangani pandemik Covid-19 yang telah berjaya membolehkan

Malaysia mencapai nisbah kes kematian kurang dari 0.4 peratus, iaitu dalam lingkungan 5.0 peratus terendah

di dunia, pemulihan ekonomi juga akan didorong dengan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19.

"Program ini dijangka bermula pada awal Mac dan akan dilaksanakan secara berfasa di antara 12 hingga 18 bulan, di mana lebih daripada 80 peratus rakyat Malaysia atau hampir 27 juta individu dijangka diinokulasi pada suku pertama 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 8:36 PM