Pesawat Airbus A321neo.
Pesawat Airbus A321neo.
BERNAMA

Kuala Lumpur: AirAsia Group mengukuhkan komitmennya untuk menukar jenis pesawat utama yang dikendalikannya iaitu A320 kepada A321neo yang mempunyai kapasiti lebih besar dan menawarkan lebih penjimatan bahan api, selepas menandatangani perjanjian pindaan dengan Airbus S.A.S.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata ia akan menukar baki tempahan pesawat A320 kepada A321neo.

Dengan penukaran 13 baki tempahan pesawat A320 kepada A321neo, AirAsia kini mempunyai jumlah tempahan 362 pesawat A321neo yang akan diperuntukkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group berdasarkan permintaan hingga tahun 2035.

AirAsia menerima pesawat pertama A321neo pada Nov 2019 dan pada masa ini mengendalikan sejumlah empat pesawat jenis A321neo.

Kumpulan itu mempunyai sejumlah 211 pesawat yang terdiri daripada 169 pesawat A320, 38 pesawat A320neo dan empat pesawat A321neo.

Presiden (Penerbangan) AirAsia Group Bo Lingam berkata transformasi pesawat kepada A321 sepenuhnya akan memperkukuhkan lagi struktur kos rendah bagi operasi syarikat penerbangan itu.

"Pesawat Airbus A321neo adalah peneraju dalam kategorinya dan ia akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan di seluruh rangkaian kami dengan kecekapan operasi yang lebih tinggi dan penjimatan bahan bakar lebih daripada 10 peratus.

"Ia juga mempunyai 50 tempat duduk tambahan dan ruang kargo yang lebih besar, yang akan membolehkan kami mengurangkan lagi kos untuk tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) di seluruh kumpulan, seterusnya menjadikan tambang udara lebih rendah untuk para tetamu kami," kata Lingam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia GroupTan Sri Tony Fernandes berkata berikutan pembukaan sekatan pergerakan secara beransur-ansur dan permulaan perkhidmatan pengangkutan dan kargo dalam semua pasaran utamanya, kumpulan perlu memastikan bahawa pesawat yang dikendalikan menjimatkan kos dan bahan api serta dioptimumkan bukan sahaja untuk operasi syarikat penerbangan malah untuk syarikat logistiknya iaitu Teleport.

"Permintaan perkhidmatan Teleport kini semakin meningkat seiring dengan permintaan luar biasa untuk perkhidmatan pengangkutan udara dan kargo, dan prestasinya telah kembali kepada sebelum pandemik dan berkembang lebih cepat daripada sebelumnya.

"Kami bersedia untuk mengembangkan perkhidmatan penghantaran dan kargo digital Teleport ke seluruh rantau ini sebaik sahaja sekatan perjalanan dan sempadan antarabangsa dibuka semula," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Airbus dan Ketua Airbus International Christian Scherer berkata perjanjian ini merupakan satu lagi sokongan terhadap A321neo sebagai pesawat lorong tunggal paling cekap dan popular di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:28 PM