VERANITA (tiga dari kiri) bersama Menking dan Kim pada majlis penghantaran pertama pesawat jenis Airbus A321neo di Hamburg, Jerman.
VERANITA (tiga dari kiri) bersama Menking dan Kim pada majlis penghantaran pertama pesawat jenis Airbus A321neo di Hamburg, Jerman.
Badrul Hizar Ab Jabar


AIRASIA menerima penghantaran pertama pesawat jenis Airbus A321neo dalam satu acara khas diadakan di Hamburg, Jerman.

Pesawat berkapasiti 236 tempat duduk itu membolehkan syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan mempertingkatkan penawaran kapasiti penerbangan lebih tinggi berdasarkan permintaan kukuh berterusan di seluruh rangkaiannya di samping memperoleh manfaat kos operasi terendah dalam kategori satu lorong.

AirAsia menjadi antara pelanggan terbesar dunia bagi A321neo yang bersaiz lebih besar dengan 353 pesawat sudah ditempah.

A321neo yang juga model paling laris bagi rangkaian A320 dilengkapi teknologi terbaharu turut menawarkan penjimatan bahan api 20 peratus selain pengurangan bunyi bising enjin 50 peratus berbanding pesawat generasi terdahulu.

Ia bakal memulakan perkhidmatan membabitkan hab di Malaysia ke destinasi Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine berkata, dengan penerima pesawat terbaharu Airbus itu, teknologi terbina dalam pesawat berkenaan akan memberi kesan positif terhadap kecekapan operasi AirAsia dan membantu menjana pertumbuhan berterusan jangka panjang.

“Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Airbus dalam usaha memajukan industri penerbangan.

“Pesawat generasi baharu ini memberikan penjimatan bahan api dan berkeupayaan terbang dengan tempoh lebih sejam berbanding pesawat generasi terdahulu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan pesawat berkenaan.

Acara disertai lebih 30 wakil media dari Malaysia, China, Vietnam, Filipina dan Indonesia turut dihadiri Pengurus Besar (Rantau Asia Tenggara) CFM International, Sean SW Kim dan Ketua Program A320 Airbus, Michael Menking.

Sementara itu, Michael berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan AirAsia yang memberi sokongan padu kepada kumpulan itu.

“Kami tidak sabar melihat pesawat A321neo terbang bersama AirAsia dan menyumbang kepada kejayaan berterusan syarikat penerbangan berkenaan sebagai satu daripada syarikat penerbangan tambang rendah utama dunia,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi taklimat bersama wakil media, Pengurus Kanan Perancangan dan Penilaian Pesawat AirAsia, Matthew Glaus berkata, penerimaan pesawat pertama itu menjadi detik unik buat syarikat penerbangan berkenaan selepas melakukan persediaan selama dua tahun.

“Selain penjimatan bahan api dan penambahan 50 lagi tempat duduk yang dinaik taraf, pesawat ini turut memiliki teknologi yang memberi kesan alam sekitar lebih baik selain kos penyelenggaraan rendah.

“Elemen alam sekitar diterapkan dalam pesawat ini dengan penjimatan penggunaan bahan api akan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida (CO2).

“Ia juga menawarkan ruang kargo lebih luas sebanyak 40 peratus,” katanya.

Acara menyambut ketibaan pesawat A321neo akan dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes di Sepang Aircraft Engineering (SAE) Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:10 PM