PESAWAT A321neo adalah model paling laris bagi rangkaian A320 yang dilengkapi teknologi terbaharu termasuk enjin generasi baharu.
PESAWAT A321neo adalah model paling laris bagi rangkaian A320 yang dilengkapi teknologi terbaharu termasuk enjin generasi baharu.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: AirAsia bakal menerima pesawat jenis Airbus A321neo mulai akhir 2019 yang mampu meningkatkan kecekapan dan kapasitinya ke laluan seperti Singapura yang mencatat slot penerbangan maksimum, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat.

Pada Jun lalu, AirAsia mengumumkan untuk meningkatkan kapasiti pesawat satu lorong Airbus pada masa depan dengan mengubah 253 tempahan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar, sekali gus menjadikannya pelanggan terbesar dunia bagi model itu.

“Kami (Malaysia) akan menerimanya terlebih dahulu iaitu dua pesawat pada tahun ini dan dua lagi pada tahun depan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Pada masa ini, AirAsia mempunyai sebanyak 230 pesawat A320 dalam perkhidmatannya membabitkan hab di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Menurutnya, pesawat A321neo juga adalah model paling laris bagi rangkaian A320 yang dilengkapi teknologi terbaharu termasuk enjin generasi baharu dan ‘Sharklets’ yang turut memberi penjimatan bahan api sekurang-kurangnya 15 peratus pada tempoh penghantaran dan 20 peratus pada 2020.

Semua pesawat itu, kata Riad, akan digunakan bagi laluan yang mencatatkan kecekapan maksimum serta yang tiada lagi slot (penerbangan) seperti Singapura.

“Selain Singapura, laluan lain yang boleh menggunakan A321neo adalah Kuching, Kota Kinabalu dan Bali di Indonesia,” katanya, sambil menambah peningkatan kapasiti tempat duduk adalah menyamai usaha menambah separuh daripada pesawat.

“Pada masa ini, A320 mempunyai 180 tempat duduk dan keupayaan kapasiti bagi satu-satu perjalanan adalah 360 tempat duduk. A320neo pula mempunyai 186 tempat duduk (372 tempat duduk untuk setiap perjalanan). Bagi A321neo, ia mempunyai 236 tempat duduk dan satu perjalanan adalah 472 kerusi dan ini dapat menjana lebih banyak wang,” katanya.

Menurutnya, A320 juga boleh dimanfaatkan untuk perjalanan jarak dekat yang lain.

“Oleh itu, saya dapat menguruskan sumber dengan lebih baik serta lebih cekap dalam aspek pengurusan kapasiti. Ini juga pengubah untuk kami yang mana kami bermula dengan Boeing B737 dan disusuli A320, A320neo dan kini A321neo,” katanya.

Menurut Riad, selain Malaysia negara lain seperti India, Thailand, Filipina dan Indonesia akan turut menerima pesawat A321neo terbabit yang disifatkan sebagai pasaran pertumbuhan penting untuk syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:43 AM