PESAWAT A321neo
PESAWAT A321neo

Kuala Lumpur: AirAsia Group Bhd menukar baki tempahan pesawatnya daripada Airbus SAS (Airbus) kepada A321neo, model yang mempunyai kapasiti lebih besar berbanding A320 sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, A321neo mempunyai kapasiti lebih besar dan menawarkan lebih penjimatan bahan api.

Beliau berkata, kumpulan juga menandatangani perjanjian pindaan dengan Airbus di mana AirAsia akan menukar baki tempahan pesawatnya kepada A321neo.

Perjanjian itu, katanya menandakan komitmen AirAsia untuk menempah model terbesar dalam kategori pesawat A320.

"Pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur dan permulaan perkhidmatan pengangkutan dan kargo dalam semua pasaran utama menjadikan kumpulan perlu memastikan bahawa pesawat yang dikendalikan menjimatkan kos dan bahan api selain dioptimumkan bukan hanya untuk operasi syarikat penerbangan malah untuk syarikat logistik kami iaitu Teleport.

"Permintaan perkhidmatan Teleport kini semakin meningkat seiring dengan permintaan luar biasa untuk perkhidmatan pengangkutan udara dan kargo, malah prestasinya sudah kembali kepada sebelum pandemik serta berkembang lebih pantas daripada sebelumnya," katanya.

Sementara itu, Presiden (Penerbangan) AirAsia, Bo Lingam berkata, pesawat A321neo mempunyai sehingga 236 tempat duduk dengan lorong tunggal, sekali gus membolehkannya meningkatkan kapasiti dan memanfaatkan kos operasi terendah dalam kategori itu.

"Penukaran 13 baki tempahan pesawat A320 kepada A321neo menjadikan jumlah tempahan pesawat A321neo AirAsia kepada 362 pesawat.

"Pesawat terbabit akan diperuntukan kepada syarikat penerbangan di bawah AirAsia berdasarkan permintaan sehingga 2035, seperti yang dipersetujui bersama Airbus.

"AirAsia menerima pesawat pertama A321neo pada November 2019 dan ketika ini kumpulan mengendalikan sejumlah empat pesawat jenis A321neo," katanya.

Beliau menjelaskan, jumlah armada keseluruhan AirAsia kini adalah sebanyak 211 pesawat yang terdiri daripada 169 pesawat A320, 38 pesawat A320neo dan empat pesawat A321neo.

"Kami sudah mengkaji strategi rangkaian dan jenis pesawat secara menyeluruh untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan di laluan paling popular dan menguntungkan dalam persiapan untuk memulakan kembali penerbangan di seluruh rangkaian.

"Ini adalah hasil perbincangan dan kerjasama rapat dengan Airbus," katanya. Transformasi pesawat kepada A321 sepenuhnya akan memperkukuhkan lagi struktur kos rendah operasi kami.

"Pesawat Airbus A321neo adalah peneraju dalam kategorinya dan ia akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan di seluruh rangkaian dengan kecekapan operasi yang lebih tinggi dan penjimatan bahan bakar lebih 10 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:05 AM