ABD Latiff mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan My Delicacies Suhaily Hamzah ketika melawat premis perniagaan pada Majlis MARA bantu Usahawan Inisiatif Tambahan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Ibu Pejabat MARA. FOTO Bernama
ABD Latiff mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan My Delicacies Suhaily Hamzah ketika melawat premis perniagaan pada Majlis MARA bantu Usahawan Inisiatif Tambahan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Ibu Pejabat MARA. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberikan kemudahan pembiayaan berjumlah RM305.26 juta kepada 2,790 usahawan seluruh negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19, setakat ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kemudahan itu diberikan kepada mereka sama ada menerusi Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P), Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Penjana kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau pun Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK).

Beliau berkata, untuk S3P, 1,031 usahawan menerima manfaat dengan nilai pembiayaan berjumlah RM37.7 juta dengan Selangor mendapat kelulusan pembiayaan tertinggi sebanyak RM4.1 juta diikuti Kuala Lumpur (RM3.57 juta) dan Negeri Sembilan (RM3.45 juta).

"Di bawah S3P ini, usahawan terpilih akan menerima pembiayaan maksimum RM50,000 untuk dijadikan sebagai modal pusingan perniagaan.

"Pemberian ini dibuat secara telus kerana kita ada jawatankuasa yang menilai kebolehupayaan mereka untuk membayar balik pembiayaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout ke premis perniagaan di Ibu Pejabat MARA, di sini, hari ini.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan cek pembiayaan S3P berjumlah antara RM45,000 dan RM50,000 kepada tiga usahawan terpilih.

Abd Latiff berkata, bagi SPiM Penjana IPTS dan PKS pula, RM254.3 juta telah diluluskan untuk pembiayaan kepada 158 usahawan dan RM13.26 juta di bawah SPAK untuk memanfaatkan seramai 1,601 lagi usahawan.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, MARA menyediakan sebanyak RM50 juta untuk membantu usahawan-usahawan ini meneruskan kelangsungan perniagaan mereka di bawah S3P, RM300 juta (SPiM Penjana IPTS dan PKS) dan RM20 juta (SPAK).

Sementara itu, seorang pengusaha pusat cucian kereta, Azhairi Shafii, 42, yang berjaya mendapat pembiayaan S3P itu berkata, bantuan diterima sedikit sebanyak dapat membantunya meningkatkan keupayaan dan kecekapan perniagaan termasuk membeli peralatan-peralatan perlu.

"Saya memohon pembiayaan ini bulan lepas dan kelulusannya sangat cepat dengan kadar keuntungan dikenakan pun hanya tiga peratus, lebih rendah berbanding yang ditawarkan oleh bank dan oleh itu, saya rasa semua orang mampu membayarnya semula," katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Klang Lama di sini sejak awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:42 PM