FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

KERAJAAN meluluskan sebanyak 4,937 permohonan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan nilai pinjaman RM1.033 bilion untuk menyokong perniagaan di bawah Pembiayaan PKS Penjana setakat 13 November lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga menerima 478 permohonan PKS di bawah Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana.

Pakej itu menawarkan kadar pembiayaan sebanyak 3.5 peratus bagi membantu kalangan usahawan sektor pelancongan dari segi modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga tujuh tahun bagi tempoh pembiayaan.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 208 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM41.8 juta," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-30 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan atau Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melalui Facebooknya, semalam.

Bagi Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) untuk PKS mikro, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM86.7 juta disalurkan dan memberi manfaat kepada 113,042 usahawan.

Selain itu bagi tempoh sama, RM197.7 juta turut disalurkan kepada 5,570 PKS mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan menerusi Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurutnya, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan makanan, kerajaan menyalurkan RM45.2 juta suntikan modal pusingan kepada 4,953 PKS mikro pertanian di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga melanjutkan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 September lalu hingga 30 Jun tahun depan bagi memastikan sektor pelancongan dan perhotelan dapat bertahan serta pulih.

"Setakat 13 November lalu, nilai pengecualian cukai yang dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan mencecah RM727.4 juta.

"Inisiatif lain bagi menyokong sektor itu adalah pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas bagi perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya yang berakhir pada 31 Jun 2021," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, nilai pengecualian duti eksport sehingga 100 peratus ke atas industri berasaskan minyak sawit yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara sehingga 13 November 2020 berjumlah RM301.1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:51 AM