AZIZAH Mohd Dun.
AZIZAH Mohd Dun.
Suliati Asri


Majlis Amanah Rakyat (Mara) melonggarkan syarat Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan DanaNITA selain menambah baik skim terbabit bagi membantu usahawan yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, S3P dilancarkan pada 7 April lalu memberi fokus untuk membantu usahawan Bumiputera yang terkesan akibat daripada krisis pandemik.

Katanya, bantuan itu pembiayaan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro Bumiputera memerlukan sokongan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dan kekal berdaya tahan.

Bantuan DanaNITA pula adalah skim pembiayaan khusus untuk wanita, diperkenalkan empat tahun lalu dan diteruskan dengan beberapa syarat yang dipermudahkan serta menaikkan jumlah had pembiayaan untuk memastikan lebih ramai usahawan wanita dapat terus dibantu.

"Bantuan kepada PKS dan usahawan mikro ini bukan sekadar membantu perniagaan usahawan, tetapi ia juga akan memastikan peluang pekerjaan dapat terus diwujudkan apabila perniagaan kekal beroperasi.

"Kami meyasarkan untuk membantu 1,000 usahawan terjejas dengan peruntukan RM50 juta di bawah S3P, manakala 200 usahawan wanita disasarkan di bawah skim DanaNITA dengan peruntukan kewangan RM10 juta," katanya.

Melalui pembiayaan perniagaan S3P ini, usahawan boleh mendapatkan kemudahan sama ada bagi menampung modal pusingan perniagaan, pembelian peralatan, perbelanjaan bagi tujuan promosi dan pemasaran serta kos pengurusan syarikat.

Pembiayaan diberikan juga patuh syariah dengan had maksimum pembiayaan RM50,000 dan tidak mensyaratkan sebarang cagaran atau jaminan.

Bagi Skim Pembiayaan DanaNITA yang sudah memberi manfaat kepada 1,239 usahawan sejak 2017 pula, Mara menambah baik skim ini dengan menaikkan had maksimum pembiayaan hingga RM150,000 berbanding sebelum ini hanya RM 50,000.

Azizah berkata, sebagai usaha memudahkan lagi usahawan yang disasarkan untuk akses kepada S3P dan DanaNITA, beberapa syarat sudah dilonggarkan Mara iaitu perniagaan hanya cukup berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak mensyaratkan perlu beroperasi lebih enam bulan.

"Tempoh tangguh (grace period) juga dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan dan dikecualikan syarat daripada mempunyai lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kelonggaran dokumen berkaitan permohonan seperti sebut harga ubahsuai, pembelian mesin dan alatan turut dikecualikan. Penyata akaun bank hanya diperlukan untuk tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini," katanya.

Jelas Azizah, melalui pendekatan ini, lebih ramai usahawan wanita dapat diberikan akses bukan sekadar untuk mereka bertahan ketika pandemik ini, malah juga memberikan tawaran pakej pembiayaan lebih baik supaya perniagaan mereka akan terus berkembang.

"Langkah ini bukan sekadar untuk memastikan perniagaan usahawan terus berdaya tahan, dalam masa sama akan kembali merancakkan aktiviti perniagaan di peringkat PKS," katanya.

Bagi usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pejabat Mara Negeri atau Pejabat Mara Daerah di seluruh negeri.

Usahawan juga boleh terus memohon secara dalam talian melalui portal MyUsahawan yang boleh diakses melalui laman web rasmi Mara, https://www.mara.gov.my atau secara terus di aplikasi MyUsahawan http://aplikasi.mara.gov.my/ MyUsahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:15 AM