DR Abd Latif (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah ketika melawat premis perniagaan di bawah kendalian Mara di Ibu Pejabat Mara, semalam. - Gambar NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
DR Abd Latif (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah ketika melawat premis perniagaan di bawah kendalian Mara di Ibu Pejabat Mara, semalam. - Gambar NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Majlis Amanah Raya Rakyat (Mara) terus komited membantu usahawan Bumiputera apabila 2,790 usahawan sudah menerima manfaat pembiayaan dengan peruntukan sebanyak RM305.26 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latif Ahmad berkata, antara pembiayaan ditawarkan ialah Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P), SPiM Penjana IPTS dan PKS serta Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Katanya, Mara turut fokus membantu usahawan ke arah pendigitalan, menyediakan latihan bagi usahawan yang ingin mempelbagaikan cabang serta meluaskan rantaian perniagaan di samping mengadakan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan usahawan Bumiputera terus kukuh.

"Kami sedia maklu ramai usahawan yang terjejas sumber pendapatan kerana krisis ini, malah ada yang terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu membayar upah.

"Oleh itu, saya mahu memastikan PKS di bawah Mara dibantu dengan semua fasiliti keusahawanan yang ada bagi memastikan perniagaan mereka kekal, sekali gus tiada guna tenaga yang diberhentikan," katanya selepas menyampaikan surat pengecualian bayaran sewaan premis dan cek pembiayaan kepada penyewa dan usahawan Mara di sini, semalam.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan ini bukan sekadar membantu perniagaan untuk kekal bertahan, tetapi juga bagi memastikan peluang pekerjaan dapat terus diwujudkan.

Beliau berkata, penyewa premis di perniagaan MARA kini sudah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 15,000 orang.

Sementara itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi S3P dengan setakat ini seramai 1,031 usahawan sudah menerima pembiayaan bernilai RM37.7 juta, SPAK pula sebanyak RM20 juta dana sudah dimanfaatkan oleh 1,601 usahawan manakala SPiM Penjana IPTS dan PKS sebanyak RM300 juta diperuntukkan dan seramai 158 usahawan menerima pembiayaan (maksimum pembiayaan bagi skim ini, RM50 juta).

Keistimewaan skim pembiayaan ini adalah patuh syariah, mudah dan cepat serta hanya tiga peratus kadar keuntungan setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:16 AM