Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Bisnes Metro

Kuala Lumpur:Sebanyak 3,058 permohonan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan nilai pinjaman RM742.8 juta diluluskan di bawah Pembiayaan PKS Penjana sehingga 18 September lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah pembiayaan ini, dana RM2 bilion diperuntukkan kerajaan dengan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

Malah, RM73.6 juta disalurkan kepada 11,059 PKS Mikro di bawah Skim Pemulihan Perniagaan Tekun.

"PKS selaku komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara diberi keutamaan dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka," katanya dalam Laporan Laksana ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman Facebook beliau di sini, semalam.

Pengeluar dan Pengusaha makanan produk Terengganu Afifi Ab Rahim menyusun produk di kilangnya di Sungai Buloh.
Pengeluar dan Pengusaha makanan produk Terengganu Afifi Ab Rahim menyusun produk di kilangnya di Sungai Buloh.

Menurutnya, beliau menjelaskan skim disediakan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ini mampu meningkatkan akses kepada pembiayaan dalam memulihkan beban aliran tunai jangka pendek PKS.

"Kerajaan juga menyalurkan RM55.31 juta melalui Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang memanfaatkan 1,480 PKS dan PKS Mikro.

"Bagi memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera, RM16.22 juta disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan memanfaatkan 41 perniagaan Bumiputera," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan terjejas, termasuk sektor pendidikan swasta dengan had maksimum jumlah pinjaman RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai permohonan e-Penjana yang ditutup pada 24 September lalu, menurutnya 11.15 juta rakyat menerima RM50 dalam e-dompet dengan jumlah nilai RM557.46 juta.

Tengku Zafrul mengingatkan penerima e-Penjana bahawa kredit di dalam e-dompet ini perlu digunakan sebelum 30 September supaya nilai kredit tidak luput daripada akaun mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 7:00 AM