Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan tambahan sebanyak RM100 juta bagi pembiayaan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan tambahan sebanyak RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).

"Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya dimaklumkan bahawa SPIM di bawah Tekun yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan sudah habis. Oleh itu, bagi kepentingan usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

"Bagi BEEP di bawah SME Corp pula, peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun ini juga habis. Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini," katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (Aku) 2022 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar, di sini, hari ini.

SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan bencana banjir.

Ia disalurkan menerusi Tekun Nasional menawarkan nilai pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.

BEEP pula adalah satu program khusus bertujuan untuk mewujud dan membangunkan PKS Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik melalui bantuan bersepadu dengan pendekatan bimbingan.

Dalam majlis itu, Anugerah Perdana Menteri dimenangi Sumisaujana TCM Chemicals Sdn Bhd yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000.

Bagi Anugerah Menteto Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pula dimenangi oleh Repack Manufacturing Sdn Bhd yang membawa pulang wang tunai RM50,000, manakala Anugerah Khas Usahawan Cekal dimenangi Pagkia Barber Shop yang membawa pulang wang tunai RM25,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 11:12 PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) hadir pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di Hotel Mandarin Oriental. FOTO ASYRAF HAMZAH
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) hadir pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di Hotel Mandarin Oriental. FOTO ASYRAF HAMZAH