PENGELUARAN dan pengedaran produk automotif iaitu kenderaan bermotor, komponen dan alat ganti serta penjualan kenderaan terhenti sejak 1 Jun lalu.
PENGELUARAN dan pengedaran produk automotif iaitu kenderaan bermotor, komponen dan alat ganti serta penjualan kenderaan terhenti sejak 1 Jun lalu.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

KESELURUHAN rantaian bekalan dalam sektor automotif terjejas teruk susulan penutupan penuh operasi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, berdasarkan maklum balas diterima ahli persatuan itu menunjukkan operasi perniagaan di dalam kawasan PKPD terkesan susulan gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, ketika PKPD, tiada satu aktiviti perniagaan dari sektor automotif dibenarkan beroperasi, malah untuk negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), pusat pameran kenderaan dan pusat pengedaran tidak dibenarkan beroperasi walaupun kebanyakan sektor ekonomi lain kembali dibuka.

Justeru, katanya, MAA berpandangan pendekatan pelaksanaan PKPD, serta Fasa 1 dan 2 PPN perlu dikaji dan dipertimbang semula di negeri penyumbang ekonomi utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

"Pengeluaran dan pengedaran produk automotif iaitu kenderaan bermotor, komponen dan alat ganti, serta penjualan kenderaan terhenti sejak 1 Jun lalu.

"Penamatan semua aktiviti ini membawa implikasi luas kepada seluruh ekosistem automotif di seluruh negara.

"Syarikat automotif kehilangan pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan perniagaan. Dalam pada itu pekerja juga berdepan masalah lain seperti pemotongan gaji dan kehilangan pendapatan terutama bagi kakitangan jualan, bahkan mungkin pemberhentian kerja dalam beberapa kes tertentu," katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Aishah berkata, apabila kilang dan pusat pengedaran untuk kenderaan dan alat ganti di negeri atau lokaliti PKPD tidak dapat beroperasi, ia mengganggu rantaian bekalan untuk operasi perniagaan di negeri atau kawasan di bawah Fasa 1 dan 2 PPN.

Beliau menjelaskan, gangguan itu timbul akibat penamatan operasi sementara kilang automotif, bengkel, dan pusat pengedaran untuk kenderaan dan alat ganti di negeri atau kawasan PKPD seperti Selangor dan Kuala Lumpur yang disifatkan amat serius.

"Semakin lama kilang, bengkel dan pusat pengedaran automotif berhenti beroperasi, semakin besar 'kerosakan' ditanggung kepada industri dan negara.

"Justeru, MAA merayu kepada kerajaan memberi kebenaran sektor automotif untuk bengkel dan pusat pengedaran kenderaan serta alat ganti kenderaan penumpang dan komersial beroperasi pada kadar segera walaupun dalam kapasiti tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) ketat di bawah PKPD, Fasa 1 dan 2 PPN di Selangor dan Kuala Lumpur, negeri yang menyumbang hampir 50 peratus kepada jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia setahun.

"Sebahagian besar syarikat automotif utama untuk pengeluaran kenderaan dan komponen terletak di kedua-dua negeri ini," katanya.

Beliau berkata, MAA juga berharap kerajaan membenarkan kilang dan pusat pengedaran kenderaan, alat ganti serta bilik pameran kenderaan baharu beroperasi dalam Fasa 1 dan 2 PPN.

Selain itu, katanya, bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan, MAA mencadangkan kerajaan memberi kebenaran menerima dan menyimpan kargo selama dua hingga tiga hari seminggu seperti dipraktikkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) tahun lalu.

"Industri automotif Malaysia sangat bergantung pada pasaran domestik. Pasaran eksport ada, tetapi tidak mencukupi untuk mengekalkan daya tahan industri ini," katanya.

Aishah berkata, kerajaan juga dijangka kehilangan pendapatan daripada duti eksais, duti import, cukai jualan dan cukai jalan kenderaan bermotor.

"Penutupan bengkel automotif dan pusat komponen dalam negeri, lokaliti PKPD seperti di Selangor dan Kuala Lumpur tidak hanya menimbulkan kesulitan kepada pengguna secara meluas, malah boleh membahayakan nyawa kerana terus menggunakan kenderaan rosak di jalan raya.

"Kegagalan memperbaiki bahagian kenderaan yang rosak boleh menimbulkan risiko serius bagi semua pengguna jalan raya. Ini termasuk kenderaan yang mungkin tergolong dalam anggota barisan depan seperti Polis, Kementerian Kesihatan dan lain-lain yang mungkin mengalami kerosakan ketika melaksanakan tugas mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:00 AM